
SETELAH berabad-abad menjadi empayar Islam terkuat di dunia, Kerajaan Uthmaniyyah mulai mengalami kelemahan ketara pada abad ke-18.
Lebih tepat lagi, seperti kata Vucinich (1965) dalam bukunya ‘The Ottoman Empire’, Kerajaan Uthmaniyyah mula mengalami kemerosotan selepas kemangkatan Sultan Sulayman al-Qanuni.
Kejayaan besar dan hebat pada era Sultan Muhammad al-Fatih dan Sultan Sulayman al-Qanuni semakin pudar, digantikan dengan konflik dalaman, kelemahan pentadbiran, dan tekanan dari kuasa Barat.
Apa yang sebenarnya berlaku, dan apakah pengajaran yang boleh kita ambil untuk umat Islam hari ini?
Punca-punca kemerosotan
Pada abad ke-18, Kerajaan Uthmaniyyah mula kehilangan keunggulan yang pernah dimiliki. Terdapat beberapa faktor utama menyebabkan kemerosotan ini:
1. Korupsi dan penyelewengan kuasa.
Sistem birokrasi yang suatu ketika dahulu cekap mula dipenuhi dengan golongan yang hanya mementingkan kepentingan peribadi. Golongan birokrat menjadi semakin rakus, dan rasuah berleluasa sehingga melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Pihak sultan pula mudah terpengaruh dengan seseorang yang rapat dengan mereka. Kebiasaannya, hanya ibu sultan atau harem kesukaan akan mendominasi sultan.
Contoh penyelewengan adalah apabila Sultan Selim II (1566-1574) telah mengamalkan amalan pemberian hadiah dan imbuhan khususnya kepada kalangan Janissari dan para ulama semasa pemerintahannya. Di samping itu, baginda juga telah memberi gaji yang lumayan kepada tentera sehinggakan terdapat sebahagian tentera yang meminta lebih dari yang sepatutnya. Ini menyebabkan ada yang naik tocang, kesetiaan diukur dengan kadar rasuah.
2. Kemerosotan ketenteraan.
Pasukan Janissari (Yeniceri) yang dahulunya gagah kini menjadi lemah. Mereka bukan lagi pahlawan yang mempertahankan Islam tetapi lebih cenderung kepada politik dalaman dan mencari kepentingan peribadi.
Dalam beberapa peperangan besar, tentera Uthmaniyyah mengalami kekalahan teruk akibat kurangnya inovasi dalam strategi ketenteraan dan kelemahan disiplin.
3. Tekanan dari kuasa Barat.
Kuasa Eropah, terutama Rusia dan Austria, semakin berani mencabar kedaulatan Uthmaniyyah.
Napoleon Bonaparte sendiri menyerang Mesir pada tahun 1798, satu petanda jelas bahawa Eropah tidak lagi takut dengan Uthmaniyyah.
4. Krisis ekonomi dan inflasi.
Kebergantungan Khilafah Uthmaniyyah kepada sistem ekonomi lama menyukarkan mereka bersaing dengan kuasa Eropah yang mula berkembang melalui Revolusi Perindustrian (1760-1840).
Hasil tanah timar yang menjadi sumber utama pendapatan kerajaan semakin merosot. Kegiatan perdagangan pula lebih banyak menguntungkan kelompok tertentu seperti pedagang Greek dan Armenia, bukannya kerajaan pusat.
Memburukkan lagi keadaan, pentadbir wilayah (derebey) telah menindas para petani dengan merampas hasil mereka dan memaksa mereka bekerja hingga ada yang terkorban. Akibatnya, petani hidup dalam kemiskinan demi kepentingan para pembesar.
Kesan-kesan kemunduran
Kelemahan ini membawa akibat yang besar kepada dunia Islam:
1. Kehilangan wilayah dan maruah.
Beberapa wilayah Uthmaniyyah mula memberontak dan ada yang jatuh ke tangan kuasa asing. Kejatuhan Mesir ke tangan Perancis pada tahun 1798 telah memberi tamparan hebat kepada dunia Islam.
2. Perpecahan dalaman.
Misalnya, golongan elit (Ayan) semakin berpengaruh dan menuntut lebih kuasa, melemahkan autoriti kerajaan pusat. Rakyat pula semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan sultan. Selain itu, konflik dalaman Istana dan pasukan Janissari. Begitu ramai sultan yang telah digulingkan dan dibunuh.
3. Islam dihina dan ditindas.
Kelemahan Uthmaniyyah memberi ruang kepada kuasa Barat untuk menyebarkan ideologi mereka dalam dunia Islam. Idea liberalisme dan nasionalisme mula meresap dalam pemikiran umat, menggantikan semangat jihad dan ukhuwah Islamiyah.
Iktibar buat kita hari ini
Sejarah ini bukan sekadar catatan masa lalu, tetapi cerminan untuk umat Islam hari ini. Kita perlu mengambil pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Jika umat Islam terus lalai dan mengabaikan sejarah, kita akan mengulangi kesilapan yang sama. Firman Allah SWT:
*إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ*
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri.”
(Surah Ar-Ra’d ayat 11)
Kesejahteraan umat Islam bergantung pada kepimpinan yang beramanah, pembangunan ketenteraan dan teknologi, sistem ekonomi yang kukuh, serta kembali kepada Islam sebagai panduan hidup.
Tanpa pemimpin yang jujur, negara akan musnah akibat korupsi, manakala kelemahan dalam teknologi dan ketenteraan boleh membawa kepada kejatuhan kuasa Islam. Ekonomi yang adil dan lestari pula diperlukan bagi membebaskan umat daripada penguasaan musuh.
Oleh itu, kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai asas pemerintahan dan kehidupan adalah kunci untuk kita membangunkan kembali ketamadunan Islam.
*Bacaan tambahan:
Pembaharuan Ketenteraan Uthmaniyyah Era Selim III. 2021. Mohd Yusrizal Mohd Yunus, Ezad Azraai Jamsari & Ermy Azziaty Rozali. UKM Press
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 10/3/2025











