
TANAH MERAH: Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan yang ditemukan meninggal petang semalam selepas dilaporkan hilang dua hari lepas.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penemuan mayat Hud Aryan amat memilukan.
“Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada-Nya dan setiap ujian yang menimpa hamba-Nya terkandung hikmah yang hanya Dia maha mengetahuinya.
“Kami mengikuti rapat perkembangan kes ini sejak awal dan amat tersentuh dengan dugaan berat yang ditanggung oleh keluarga.
“Tiada kata yang mampu menghapuskan kesedihan ini namun kami berdoa semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada ibu bapa serta ahli keluarga adik Hud Aryan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_ beliau.
Katanya, anak syurga itu sedang menanti ibu bapanya di pintu Jannah dalam lindungan rahmat Allah.
Terdahulu selepas mesyuarat mingguan exco tengahari semalam, Fadzli berharap Hud ditemukan selamat.
Namun beliau turut mendoakan senoga keluarga tabah menghadapi ujian itu.
Media melaporkan mayat Hud ditemui terlekat di pokok di tebing sungai di Kampung Kerila jam 4:15 petang semalam.
Penemuan mayat mangsa itu selepas 45 jam dilaporkan hilang iaitu tiga kilometer dari rumah keluarga mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim turut merakamkan salam takziah kepada keluarga Hud.
Beliau berharap keluarga anak syurga itu tabah menghadapi ujian getir yang amat perit itu. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











