
BERKALI-kali saya bangkit pada sesi sidang parlimen hujung tahun lepas berkenaan unjuran kedudukan kewangan PETRONAS susulan rundingan dengan PETROS. Saya bangkitkan di dalam perbahasan dan juga soalan lisan kepada kerajaan. Bahkan saya membawa jangkaan banyak pihak yang berpengalaman berhubung unjuran hasil Petronas yang akan turun 30 – 40 peratus nanti.
Terkini, PETRONAS mengumumkan keuntungan bersih tahun 2024 ialah RM55.1 billion berbanding RM80.7 billion pada tahun sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 32 peratus. Walaupun ia isu yang berlainan, tetapi ia juga menambah lagi kebimbangan akan berkurangnya hasil yang akan diperolehi oleh PETRONAS sekali gus menjejaskan dividen kepada kerajaan nanti.
Penurunan drastik ini menimbulkan persoalan besar mengenai kebergantungan kerajaan kepada PETRONAS sebagai ‘tabung kecemasan’ untuk menampung defisit fiskal negara. Apakah kerajaan sedar bahawa tanpa strategi yang jelas, kebergantungan berterusan kepada PETRONAS hanya akan mempercepatkan ketidakstabilan ekonomi Malaysia?
Dalam masa yang sama, kerajaan telah bersetuju dengan Perjanjian Komersial Malaysia (Malaysia Commercial Settlement Agreement – MCSA) dengan PETROS, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak. Perjanjian ini memberikan PETROS lebih kuasa dalam menguruskan hasil minyak dan gas negeri itu, termasuk kawalan terhadap blok minyak dan gas yang sebelum ini diuruskan oleh PETRONAS.
Dengan kata lain, PETRONAS kini kehilangan sebahagian daripada sumber pendapatannya kepada PETROS, dan kesannya jelas – hasil syarikat semakin berkurangan. Walaupun Sarawak berhak menuntut kawalan lebih besar ke atas sumbernya, persoalannya ialah bagaimana kerajaan Persekutuan mengurus keseimbangan ini tanpa menjejaskan pendapatan negara?
Keputusan membenarkan PETROS mengambil alih lebih banyak aset minyak dan gas tanpa strategi pemulihan bagi PETRONAS hanya akan mempercepatkan penguncupan ekonomi tenaga negara. Lebih membimbangkan, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim seolah-olah membiarkan PETRONAS terpaksa beroperasi dengan beban kewangan yang semakin meningkat.
Pada tahun 2024, kerajaan menuntut dividen sebanyak RM32 bilion, jumlah yang tinggi walaupun keuntungan PETRONAS menjunam. Dengan dividen sebesar ini, keupayaan PETRONAS untuk melabur dalam teknologi baru dan projek eksplorasi akan semakin terhad. Benar, dibandingkan dengan dividen tahun 2023 sebanya RM40 billion, dividen untuk tahun 2024 tentulah lebih rendah namun ia masih tinggi jika dibandingkan dengan penurunan hasil yang sangat ketara.
Dalam keadaan dunia bergerak ke arah tenaga hijau dan negara-negara lain sedang mempelbagaikan sumber tenaga mereka, Malaysia masih lagi terperangkap dalam dasar ekonomi yang bergantung kepada minyak tanpa perancangan konkrit untuk masa depan.
Ironinya, kerajaan juga gagal mengawal pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan negara walaupun hasil PETRONAS semakin berkurangan. Di sebalik slogan ‘Ekonomi Madani’, yang kita lihat hanyalah kenaikan perbelanjaan kerajaan tanpa sebarang rancangan untuk mengukuhkan industri minyak dan gas negara.
Jika trend ini berterusan, Malaysia bukan sahaja akan kehilangan kelebihan sebagai pengeluar minyak utama, malah PETRONAS sendiri boleh menjadi semakin lemah dalam persaingan global.
Sayang sekali, apa yang lebih jelas ialah kerajaan ini lebih gemar beretorik daripada mencari penyelesaian sebenar untuk menyelamatkan ekonomi negara.
AHMAD FADHLI SHAARI – HARAKAHDAILY 26/2/2025











