Tambah baik latihan, skim gaji staf Bernama

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menggesa kerajaan untuk menambah baik skim gaji dan latihan kakitangan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) bagi memastikan kualiti pemberitaan yang lebih kompetitif dan profesional.

- Advertisement -

Beliau berkata, Bernama perlu menarik lebih ramai tenaga kerja berkualiti dan memastikan wartawan serta kakitangannya diberi insentif yang setimpal dengan peranan mereka dalam menyebarkan maklumat sahih kepada rakyat.

“Apakah penambahbaikan yang akan diberikan kepada kakitangan Bernama khususnya dari segi teknologi, latihan dan skim gaji supaya berita-berita yang dapat dihasilkan lebih kompetitif.

“Oleh kerana kita mempunyai kakitangan yang lebih bersemangat dan kita boleh mengambil kakitangan yang sangat kompeten dalam memenuhi hasrat negara untuk melahirkan berita-berita yang lebih baik dan lebih cepat serta dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Bernama (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mumtaz yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia, turut mencadangkan agar penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data diterapkan dalam organisasi.

“Kita mahu supaya Bernama akan kekal menjadi pusat sumber yang berwibawa yang boleh kita rujuk dan Insya-Allah dengan pindaan ini dengan wujudnya ahli-ahli lembaga yang berwibawa akan memberi kebaikan kepada Bernama. – HARAKAHDAILY 26/2/2025

- Advertisement -