
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan agar lapan ahli dalam Majlis Media Malaysia dilantik daripada kalangan pembangkang bagi memastikan keseimbangan dan ketelusan dalam badan tersebut.
Beliau berkata, struktur keanggotaan majlis itu perlu lebih adil dengan memberi ruang kepada pelbagai pihak, termasuk pengamal media bebas seperti pempengaruh dan TikTokers.
“Majlis ini penting kerana zaman ini adalah zaman media,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan supaya lapan daripada 21 ahli majlis itu dilantik daripada wakil bebas yang tidak mewakili syarikat media atau pengamal media arus perdana bagi memastikan keanggotaan yang lebih seimbang dan inklusif.
Jelas beliau, komposisi keanggotaan majlis itu merangkumi seorang pengerusi yang dilantik kerajaan, dua wakil kerajaan, empat wakil syarikat media, empat wakil persatuan media, serta empat lagi daripada kategori bukan media seperti pempengaruh media sosial.
“Jadi yang saya nak pertikaikan kenapa enam orang ini tidak diberikan syarat? Satu daripada syarikat media, satu daripada penggambaran media dan empat lagi mesti ambil daripada wakil bebas. Dengan itu wakil bebas akan ada lapan orang.
“Selebihnya kerajaan akan ada seorang pengerusi dan dua wakil kerajaan, dan saya tahu kerajaan telah berjanji bahawa kalau kerajaan tidak lagi memberi sumbangan dana, maka wakil kerajaan tidak diperlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











