
KUALA LUMPUR: Kemalangan melibatkan lori di lebuh raya lebih cenderung untuk mengakibatkan kematian berbanding jalan raya lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.
Menurut kenyataan yang dilaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 1,457 kematian dicatatkan dalam 3,500 kemalangan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga November lepas.
Sehubungan itu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) meminta penjelasan kementerian mengenai usaha yang diambil untuk memastikan syarikat pengangkutan mengawal waktu kerja pemandu demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya.
“Sejauh mana usaha yang dibuat oleh kementerian untuk bekerjasama dengan syarikat pengangkutan bagi memastikan mereka mengawal waktu kerja pemandu agar tidak terlalu lama sehingga menyebabkan kepenatan?
“Seterusnya, sejau mana kajian yang dijalankan oleh kementerian bagi menilai keberkesanan lorong khas untuk kenderaan berat yang membawa lebih muatan?
“Selain itu, adakah pemasangan sistem Kelajuan Tinggi-Berat dalam Pergerakan (HS-WIM) telah dilakukan dan sejauh mana sistem HS-WIM dipraktikkan untuk mengawal pergerakan kenderaan berat lebih muatan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kementerian telah menjalankan bukti konsep dan kini dalam proses perolehan peralatan serta kamera pemantauan.
“Sekarang ini, kita tengah membuat perolehan terhadap mesin dan kamera HS-WIM ini. Pemasangan awal akan dilakukan di beberapa lokasi sebagai permulaan sebelum diperluas secara lebih efisien,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











