Isu kritikal: Majlis Media berisiko sekat kebebasan wartawan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kemerosotan ketara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF), dengan kedudukannya jatuh 34 anak tangga ke posisi ke-107 berbanding tangga ke-73 pada tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) menyifatkan kerajaan gagal menepati janji untuk memperjuangkan kebebasan media.

“Kerajaan hari ini seperti yang kita ketahui semasa menjadi ataupun sebelum menjadi kerajaan telah menegaskan bahawa akan menjadi sebuah kerajaan yang telus dan melaungkan kebebasan media.

“Namun realitinya pada hari ini, kebebasan media menjadi lebih teruk daripada sebelumnya. Malaysia berada di kedudukan yang ke-107 dalam Indeks kebebasan media dunia 2024 yang diterbitkan oleh RSF berbanding tangga ke-73, tahun lepas.

“Kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap penubuhan Majlis Media Malaysia, yang sepatutnya berfungsi sebagai badan kawal selia kendiri bagi industri media.

Menurutnya, terdapat risiko bahawa majlis ini boleh menjadi alat kawalan kerajaan yang menyekat kebebasan wartawan dalam melaporkan isu-isu kritikal.

“Kritikan utama menyatakan bahawa RUU ini berpotensi menjadikan media sebagai alat kawalan mengurangkan autonomi pengamal media dalam melaporkan isu-isu kritikal,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025

- Advertisement -