Bicara Pendidik perkasa ilmu, bina generasi berakhlak

Peserta Program Bicara Pendidik anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Johor
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Program Bicara Pendidik anjuran Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Johor berjaya menghimpunkan hampir 150 orang pendidik daripada pelbagai latar belakang, pendidikan Islam dan arus perdana.

Peserta yang hadir termasuk guru tahfiz dan pondok, tenaga pengajar di SMITI, SRITI, PASTI dan TASTI, guru al-Quran serta guru dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

- Advertisement -

Program ini menjadi platform penting dalam perkongsian ilmu dan pengalaman, sekali gus memperkasakan peranan pendidik dalam membina generasi berilmu dan berakhlak.

Sesi pertama program menampilkan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Ustazah Salamiah Mohd Noor.

Dalam ucapannya, beliau yang juga pesara guru, menekankan kepentingan keikhlasan dalam mendidik serta cabaran yang dihadapi oleh pendidik dalam mengimbangi tuntutan jemaah, keluarga dan tugas pendidikan.

Sesi soal jawab yang diadakan memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta dilema mereka sebagai pendidik. Ustazah Salamiah turut memberikan suntikan semangat dan motivasi supaya guru terus istiqamah dalam perjuangan mendidik generasi ummah.

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Zakiah Tukirin, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkasakan pendidik dalam melahirkan generasi yang berilmu, beriman, dan berakhlak.

Program diteruskan dengan sesi bengkel. Peserta dibahagikan kepada sembilan kumpulan mengikut kategori pengajaran masing-masing. Mereka kemudiannya membentangkan hasil perbincangan serta resolusi yang dicapai bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem pendidikan Islam. – HARAKAHDAILY 26/2/2025

- Advertisement -