
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan status penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara (PPGN) yang diumumkan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 sebelum ini.
Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) berkata demikian susulan kejadian perubahan iklim yang semakin kerap berlaku di Cameron Highlands dan seluruh negara.
“Apakah status penubuhan pusat ini? Dan adakah kerajaan bersedia mengkaji semula akta dan peraturan berkaitan pengurusan bencana geologi seperti tanah runtuh agar selari dengan keperluan semasa, khususnya berikutan perubahan iklim global?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini,
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pusat berkenaan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan kini dalam peringkat konsultasi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam.
“PPGN ini ditubuhkan bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana geologi seperti tanah runtuh serta meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan demi memastikan keselamatan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











