Nuklear: Malaysia jangan buat dulu baru kaji

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan perancangan teliti dalam penggunaan teknologi nuklear bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kerajaan perlu mengambil kira model dan pendekatan negara lain yang telah berjaya menggunakan tenaga nuklear secara selamat sebelum melaksanakan dasar berkaitan di Malaysia.

“Saya ingin bertanya, apakah model yang kita pakai? Negara yang mengamalkan penggunaan nuklear bersih sudah banyak, jadi bagaimana kita nak ambil model dan negara mana yang kita jadikan panduan?

“Saya percaya rakyat Malaysia bila dengar sahaja perkataan ‘nuklear’, mereka akan terus terbayang Chernobyl. Jadi, kalau perkara ini dibawa ke hadapan, ia perlu ada perancangan merentasi kementerian, melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan pembangunan kepakaran pada masa depan,” katanya ketika mencelah penggulungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi oleh timbalan menterinya, Dato’ Mohammad Yusof Apdal di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Yusof berkata, Malaysia tidak mengambil model dari mana-mana negara dalam pelaksanaan program itu.

“Kita di bawah Nuklear Malaysia ada kaedah tersendiri. Kita tidak ambil modul dari mana-mana negara.

“Kajian telah dilakukan dan kita akan menggunakan kaedah yang sedia ada untuk melaksanakan usaha ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

- Advertisement -