
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka mencipta sejarah dengan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat DHPP yang pertama di negara ini.
Pencapaian itu menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan DHPP untuk berkhidmat kepada rakyat serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam berkata, sejak penubuhannya pada 2002, DHPP memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat serta memberikan khidmat yang dedikasi kepada rakyat.
“Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004, dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 2010.
“Pada 2018, dewan ini secara rasmi dinamakan semula dan ditubuhkan sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bagi mencerminkan peranan dan tanggungjawabnya yang semakin luas dalam PAS.
“DHPP ditubuhkan untuk mewakili serta memperjuangkan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam PAS di samping memperkukuhkan keharmonian negara.
“Kami berpegang teguh kepada prinsip perpaduan, kesejahteraan bersama, dan perlindungan hak semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Seiring dengan perkembangan DHPP, kami kini dalam proses untuk menjadi Ahli Bersekutu PAS, sekali gus mengukuhkan lagi peranan serta kedudukan kami dalam struktur parti,” katanya dalam kenyataan.
Majlis perasmian Pusat Khidmat Masyarakat DHPP di TamanPeringgit Jaya, diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama PAS Melaka, termasuk Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin.
Sementara itu, Ketua DHPP Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian, menegaskan bahawa penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat DHPP Melaka bukan sekadar simbolik, tetapi membuktikan komitmen untuk mendengar dan menyelesaikan isu-isu masyarakat.
Katanya, DHPP Melaka dan Pusat, komited untuk bekerjasama dengan PAS Negeri dan Pusat bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.
“Pusat Khidmat Masyarakat akan menjadi tempat suara rakyat didengari dan kesejahteraan mereka terpelihara, selaras dengan semangat keterangkuman dan keadilan sosial yang kita perjuangkan. Kerjasama erat antara DHPP dan PAS adalah tonggak asas bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Islam mendahului dalam memupuk perpaduan, selaras dengan al-Quran yang menjadi panduan utama dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata, PAS yang menjunjung Islam sebagai prinsip teras, berpegang kepada al-Quran dalam membina negara yang adil, aman dan makmur untuk semua, selain prinsip keadilan yang diajar dalam Islam menjamin hak setiap rakyat tanpa diskriminasi, dan inilah yang kami pegang teguh dalam DHPP,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025











