URA akan jadikan penduduk Bumiputera mangsa

Mustaman Mustain
- Advertisement -

KOTA KINABALU: PAS Sabah menggesa Kerajaan Madani untuk menghentikan hasrat menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana menggadai hak rakyat.

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Mustaman Mustain, cadangan penggubalan akta itu telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan rakyat.

“Antara kebimbangan utama ialah penggubalan URA akan memberikan kuasa yang terlalu besar kepada pemaju untuk menentukan hala tuju pembangunan bandar tanpa kawalan yang ketat.

“Ini sekali gus mewujudkan risiko penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemaju kerana jelas penggubalan akta ini memihak kepada pemaju berbanding kepentingan rakyat,” tegasnya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, kerajaan perlu memastikan pemilik hartanah tidak dipaksa untuk menjual aset mereka hanya kerana desakan pemaju yang ingin memaksimumkan keuntungan.

Selain itu, PAS Sabah juga melihat, pembangunan semula yang berorientasikan keuntungan akan menyebabkan kos perumahan meningkat dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup di bandar.

Tambahnya, penduduk sedia ada khususnya dalam kalangan Bumiputera, berisiko kehilangan tempat tinggal kerana tidak mampu memiliki atau menyewa rumah di kawasan yang telah dimajukan.

“Dalam masa yang sama, penduduk berpendapatan rendah yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan Bumiputera mempunyai potensi besar terpaksa berpindah kerana pembangunan mewah di kawasan tersebut.

“Sekali lagi, situasi ini akan memangsakan penduduk asal iaitu kaum Bumiputera dipinggirkan demi pembangunan komersial serta tekanan ekonomi,” ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Sabah menggesa agar kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menangguh penggubalan akta tersebut sehingga satu kajian menyeluruh dan perbincangan telus bersama rakyat, termasuklah NGO serta wakil penduduk, dapat dilakukan.

Menurut Mustaman, kerajaan juga perlu memastikan persetujuan 100 peratus daripada pemilik hartanah sebelum sebarang perjanjian dibuat.

“Pemilik hartanah mesti diberikan kuasa penuh terhadap tanah mereka dan tidak dipaksa mengikut keputusan majoriti semata-mata sebagaimana yang dicadangkan RUU ini, iaitu 51 peratus untuk bangunan terbengkalai dan 80 peratus untuk bangunan kurang dari 30 tahun.

“Berdasarkan ketetapan tersebut, RUU ini jelas mendiskriminasi hak rakyat yang tidak bersetuju dengan pelan pembangunan berkenaan,” ujar beliau.

Tambahnya, syarat ketat juga perlu dikenakan ke atas pemaju bagi memastikan pembangunan tidak menyebabkan peminggiran penduduk asal.

Pada masa yang sama, katanya jaminan perumahan mampu milik perlu diwujudkan bagi setiap projek pembangunan semula.

“Lebih penting daripada itu, kerajaan perlu mengutamakan pandangan awam mengenai isu serius ini sebelum mengambil langkah sumbang.

“Dialog terbuka antara kerajaan, rakyat, pemaju dan pakar perumahan, misalnya, perlu dilakukan bagi memastikan perancangan bandar yang inklusif dan adil untuk semua,” kata Mustaman.

Menurutnya, kerajaan juga boleh menyemak Akta Pengambilan Tanah 1960 dan memperbaiki kelemahan sedia ada tanpa perlu menggubal URA yang dilihat lebih berat sebelah kepada pemaju.

“Tuntasnya, penggubalan URA adalah satu ancaman kepada hak rakyat.

“Jika kerajaan serius berhasrat membangunkan bandar-bandar di Malaysia secara mampan, ia perlu dipastikan bahawa setiap langkah yang diambil adalah untuk kepentingan rakyat, bukan hanya keuntungan pemaju apatah lagi mempunyai agenda tersembunyi yang merugikan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/2/2025

- Advertisement -