Rakyat perlu tunjukkan bantahan tegas terhadap cadangan URA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak pernah menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) seperti yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

- Advertisement -

Sebaliknya, kata beliau hanya meneliti cadangan daripada kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung had ambang persetujuan pemilik hartanah.  

Menurutnya, cadangan itu telah dikaji oleh PlanMalaysia serta dibincangkan di peringkat kementerian, namun tiada keperluan untuk menggubal akta baharu kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi dengan hanya perlu penambahbaikan garis panduan.  

“Menteri ketika itu hanya mengarahkan agensi di bawah kementerian untuk membincangkan cadangan tersebut dan membuat kajian, tetapi akhirnya mendapati tidak perlu ada Akta baharu. Kerana itu, tiada cadangan penggubalan Akta Baharu Pembaharuan Semula Bandar ketika PN,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

Beliau berkata, cadangan menggubal akta baharu ini telah dibentangkan dalam sesi taklimat kepada Ahli Parlimen minggu lalu, dengan perincian mengenai had ambang persetujuan.  

Jelasnya, sejak tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara aktif melaksanakan pelbagai penerangan mengenai cadangan akta itu kepada kerajaan-kerajaan negeri, selain mengadakan pertemuan dengan NGO serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Mengulas mengenai kenyataan bahawa bantahan hanya perlu dibuat selepas pembentangan di Parlimen, Ahmad Amzad menegaskan bahawa tindakan tersebut sudah terlambat kerana kerajaan boleh menggunakan kelebihan majoriti untuk meluluskan akta tersebut.

“Sudah terlambat jika dibuat demikian. ‘Tyranny of the majority’ seperti yang dimasukkan dalam akta melalui penurunan had ambang persetujuan akan mereka lakukan di Parlimen menggunakan bilangan Ahli Parlimen yang jadi komponen kerajaan sekarang,” katanya.  

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya menunjukkan bantahan tegas terhadap cadangan itu kerana ia akan memberi tekanan kepada golongan kurang berkemampuan yang masih memiliki hartanah di kawasan bandar.  

“Penentangan terhadap cadangan ini akan memberi kekuatan kepada Ahli Parlimen dalam kerajaan untuk tidak menyokong akta baharu ini,” katanya.  

Beliau juga menegaskan bahawa pembaharuan semula bandar merupakan satu keperluan yang perlu diuruskan oleh mana-mana kerajaan, namun ia mesti dikawal selia dengan undang-undang yang adil tanpa menekan pemilik sedia ada.  

“Kerana itu kena ada undang-undang dan peraturan yang mengawal selia proses ini. Apa yang mereka sebarkan misalnya petikan Tan Sri Annuar Musa adalah berkenaan garis panduan.

“Tak ada langsung disentuh soal menurunkan had ambang persetujuan. Tiada berkenaan nak buat Akta baru khusus untuk pembaharuan semula bandar.

“Undang undang sedia ada telah pun membolehkan pembaharuan dilakukan. Tak perlu turun had ambang, ketepikan minoriti pun persetujuan boleh dicapai melalui proses rundingan yang ada garis panduannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2025

- Advertisement -