
KUANTAN: Dua buah tahfiz di bawah kelolaan Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (MANTAP) meneruskan kecemerlangan sekali gus menerima anugerah daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, malam kelmarin.
Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan mendapat tempat pertama kategori Anugerah Kecemerlangan Prestasi Hafazan 2024 diwakili mudirnya, Ustaz Khairul Azmi Ismail al Muqri menerima anugerah dan hadiah berupa wang tunai bernilai RM5,000.
Manakala Maahad Tahfiz Istiqamah, Temerloh di bawah seliaan Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih Al Syubrawi menggondol tempat ketiga kategori sama dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Ahmad Hairi Hussain pada program Selawat Perdana dan Sambutan Ambang Ramadan Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Daerah Kuantan 2025 di Madrasah Syeikh Abdul Malik, Chendor, dekat sini.
Para pelajar daripada kedua-dua buah maahad tahfiz tersebut kerap kali menyertai pertandingan hafazan anjuran MUIP dan pencapaian paling membanggakan terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada tahun lepas.
Pengasas bersama Maahad Tahfiz Darul Fikri, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar mengucapkan tahniah kepada Khairul Azmi dan guru-guru maahad di atas kejayaan itu.
“Tahniah juga kepada Ustaz Zarimi dan Maahad Tahfiz Istiqamah kerana mendapat tempat ketiga kategori sama. Semoga anugerah ini semakin membakar semangat kami untuk berusaha dengan lebih gigih bagi melahirkan para hufaz yang berkualiti dan berakhlak mulia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur melalui laman Facebook beliau. – HARAKAHDAILY 22/2/2025











