
KOTA BHARU: Seramai 15,688 murid telah mendaftar untuk mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di seluruh Kelantan bagi sesi persekolahan 2025/2026.
Setiausaha PASTI negeri, Mohd Afif Rabbani Abdullah, berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hampir empat peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, berlaku peningkatan hampir 4 peratus pada jumlah keseluruhan murid yang mengikuti sistem pendidikan awal di PASTI seluruh Kelantan bagi sesi 2025/2026,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau menjelaskan, pertambahan jumlah murid ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan ibu bapa terhadap PASTI sebagai medium pendidikan awal anak-anak mereka.
Menurutnya, kepercayaan tersebut adalah hasil daripada usaha penambahbaikan yang berterusan dilakukan oleh PASTI dalam aspek silibus, pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP), serta sistem latihan guru.
Sementara itu, Pengarah PASTI negeri, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed, turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang terus memilih PASTI untuk pendidikan awal anak-anak mereka.
“PASTI yang sudah mencapai usia 40 tahun sejak tahun lepas mampu bertahan sehingga ke hari ini antaranya kerana sokongan berterusan daripada para ibu bapa.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan keyakinan yang diberikan kepada PASTI,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke beberapa PASTI di sekitar Parlimen Ketereh sempena pembukaan sesi persekolahan tahun ini.
Untuk rekod, sebanyak 331 premis PASTI beroperasi di seluruh Kelantan bagi tahun 2025. – HARAKAHDAILY 22/2/2025











