
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) memuji ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, penerangan mengenai masa depan hubungan Proton Holdings Berhad (Proton) dan Geely Holdings Group (Geely) serta manfaat diperolehi rakyat dari pelaburan Tesla juga mudah difahami.
Beliau secara sinis berkata, ucapan terbabit lebih baik jika dibanding dengan kata-kata dan fakta yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) pada Dewan Rakyat.
“Saya suka ucapan menteri seperti ini bukan macam Tambun, dia lambung angka lepas itu tak ada…” katanya sambil disambut oleh gelak ketawa sebahagian ahli parlimen pembangkang di Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi MITI di Dewan Rakyat, semalam. (Foto atas)
Terdahulu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu meminta MITI untuk campur tangan dalam krisis yang semakin buruk membabitkan antara dua syarikat pengeluar kereta itu, negara dan China.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyebelahi Proton termasuk pengedar kereta kerana syarikat pengeluar kereta negara itu mempunyai status yang sangat istimewa dalam hati dan jiwa rakyat Malaysia.
“Sebenarnya ada masalah dalaman Proton yang saya fikir MITI perlu campur tangan sebabnya Proton ada spesial status jadi bila ada kerjasama bagi saya merugikan PROTON dalam long run (jangka panjang).
“MITI perlu masuk campur, jangan benarkan Geely menganaktirikan pakar-pakar tempatan dalam Proton, vendor kita ditekan dan diminta untuk bersaing dengan vendor dari China, kita tak mampu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2025











