
JERLUN: Pesta Angin Timur Antarabangsa sedang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam, 20 Februari dan akan berakhir esok 22 Februari di Kampung Matang Kenanga, Ayer Hitam, di sini.
Pesta ini menawar pelbagai aktiviti dan acara menarik sesuai untuk semua pelbagai lapisan umur antaranya, pertandingan tarik tali dan bola sepak bendang.
Kepada mereka yang belum pernah melihat roti canai terbang, sempena pesta ini diadakan pertunjukan roti canai terbang oleh ‘Adik Terbang’ yang akan diadakan di Warung Abang Mad Roti Canai, Kampung Matang Kenanga.
Sementara itu, sepanjang tempoh pesta ini berlangsung, juga disediakan pelbagai pameran, festival dan jualan makanan serta pameran jerami padi gulung dengan pelbagai bentuk replika dan arca, sesuai untuk pengunjung bergambar dan ‘ootd’.
Tidak ketinggalan juga kuliah agama dan malam berselawat serta Malam Busana Melayu, menampilkan persembahan seni silat dan tomoi, yang akan disertai peserta dari negara Jepun.
Manakala peminat acara lasak, disediakan motosikal ATV untuk ronda-ronda bendang serta berpeluang menunggang kuda yang disediakan penganjur untuk pengunjung.
Untuk adik-adik yang berumur enam hingga 12 tahun pula, disediakan acara pertandingan mewarna untuk mencungkil bakat para peserta.
Sementara, sejajar dengan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, pesta ini juga mengadakan ‘International Friendly Handball Match’ yang melibatkan penyertaan bersama penduduk tempatan dan peserta luar negara.
Antaranya, Kyoto Sangyo, Pejabat Daerah Kubang Pasu, penduduk Matang Kenanga, termasuk pasukan pilihan negara Asean, Pakistan dan Uzbekistan.
Tentulah keunikan acara di dataran bendang selepas musim menuai ini menjadi kenangan indah kepada mereka dan juga pengalaman yang amat berharga.
Oleh itu, jangan lupa, hadirlah beramai-ramai memeriahkan Pesta Angin Timur Antarabangsa ini. Jumpa anda di sana. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











