
PASIR MAS: Yayasan Sime Darby (YSD) memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta untuk bantuan persekolahan kepada 7,261 pelajar asnaf termasuk yang terkesan banjir.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Yatela Zainuddin Abidin berkata, program berkenaan membabitkan sembilan negeri selain Kelantan, iaitu Sabah, Sarawak dan Pahang.
Beliau berkata, selepas ini pihaknya akan menghulurkan sumbangan ke Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Sumbangan ini diberikan kepada mereka bertujuan untuk memastikan pelaja terbabit dilengkapi dengan peralatan dan pakaian sekolah baharu,” ujarnya.
Menurutnya, secara keseluruhan bantuan berkenaan dimanfaatkan kepada 7,261 pelajar di 52 buah sekolah.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian bantuan kembali ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Meranti, dekat sini semalam.
Katanya, inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada ketiga-tiga syarikat penyumbang YSD iaitu Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad, dan Sime Darby Property Berhad.
Selain bantuan bencana menurutnya, inisiatif berterusan YSD di Kelantan juga meliputi bidang pendidikan, pembangunan komuniti, dan pemuliharaan alam sekitar bagi memperkukuh daya tahan dan membuka peluang baru untuk komuniti tempatan. – HARAKAHDAILY 19/2/2025












