
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai ‘Malayan Union 2.0’.
Ini kerana menurut beliau, URA merupakan satu agenda licik untuk mengikis penduduk supaya keluar daripada bandar dan mengheret mereka ke kawasan luar bandar.
“Ini akan menjadi penjajahan moden. Kita akan melihat bagaimana ini akan menjadi penjajahan baru dan tidak mustahil kita akan berdepan dengan situasi Gaza 2.0.
“Tahun 1948 negara haram Israel telahpun ditubuhkan di atas tanah bumi Palestin. Maka akta ini akan membuka ruang kepada perkara ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di serahan memorandum badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam kepada Ahli-ahli parlimen bagi membantah akta tersebut di pekarangan bangunan Parlimen, hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam pada itu menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengemukakan bantahan terhadap akta tersebut.
“Ini merupakan tanggungjawab kepada kita bangsa Melayu yang ada pada hari ini, kita kena segera untuk bersatu padu. Membulatkan tekad dan suara kita. Saya yakin hari ini merupakan satu permulaan.
“Kita bangkit dengan satu suara untuk kita pertahankan tanah air kita ini daripada penjajahan moden pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2025











