Cuba bunuh bekas PM Jepun, Kimura dipenjara 10 tahun

Ryuji Kimura (kiri) diiringi polis di mahkamah Jepun.
- Advertisement -

TOKYO: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas cubaan membunuh bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada 2023.

Ryuji Kimura, 25, melemparkan bom paip ke arah Kishida ketika pemimpin negara itu mendekati orang ramai untuk berucap semasa kempen pilihan raya di bandar Wakayama.

- Advertisement -

Walaupun Kishida tidak cedera, letupan peranti buatan sendiri itu menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang pegawai polis dan orang awam.

Serangan itu mengejutkan Jepun kerana berlaku tidak sampai setahun selepas bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe ditembak mati ketika kempen pilihan raya.

Kimura yang dijatuhkan hukuman hari ini, mendakwa tidak berniat membunuh Kishida, tetapi membantah peraturan umur pilihan raya negara yang menghalangnya terlibat dalam politik.

Menurutnya, dia melemparkan bom itu untuk menarik perhatian kepada tuntutan sivil yang difailkannya tetapi ditolak pada 2022.

Pasukan pembelaan berhujah, Kimura tidak sepatutnya menghadapi tuduhan cubaan membunuh, kerana dia tidak menjangkakan bom itu akan menyebabkan kecederaan, dan hukuman penjara tiga tahun adalah munasabah memandangkan tahap kecederaan tersebut.

Bagaimanapun mahkamah menyatakan, bahan letupan itu cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan maut.

Ketika membuat keputusan, Ketua Hakim Keiko Fukushima menyatakan bahawa menyasarkan perdana menteri yang sedang berkhidmat menyebabkan kebimbangan yang ketara kepada masyarakat secara keseluruhan.

Selain pertuduhan cubaan membunuh, Kimura didapati bersalah kerana melanggar peraturan bahan letupan dan undang-undang kawalan senjata api.

Hukuman 10 tahun itu adalah lima tahun kurang daripada apa yang diminta oleh pendakwa raya. Walaupun serangan ganas sangat jarang berlaku di Jepun, kebimbangan mengenai keselamatan ahli politik meningkat berikutan pembunuhan Abe pada 2022.

Cubaan serangan ke atas Kishida, yang berlaku kurang setahun kemudian, menimbulkan persoalan mengenai kelemahan aspek keselamatan membabitkan pemimpin negara itu – BBC NEWS

- Advertisement -