
KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, hak istimewa Bumiputera tetap perlu dihormati demi memastikan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, hak istimewa Bumiputera wujud dalam Perlembagaan negara sebagai langkah untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang ditinggalkan oleh penjajah.
Menurutnya, masyarakat majmuk terbentuk di negara ini merupakan hasil daripada dasar penjajah yang sengaja membawa masuk pelbagai kaum dari luar negara untuk kepentingan ekonomi mereka.
“Kita menerima masyarakat majmuk, berbagai kaum yang sengaja diwujudkan oleh penjajah. Di sini penduduk asal Bumiputera, orang Melayu (Islam). Penjajah membawa kaum lain dari India, China dan negara lain untuk dijadikan pekerja.
“Dilonggakkan di sini untuk kepentingan mereka (penjajah). Paling ramai jadi korban mangsa perang, dipaksa menjadi askar, terpaksa berperang, ini berlaku,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden PAS berkata, Islam menerima kewujudan masyarakat majmuk dan mengajarkan bahawa manusia berasal dari satu keturunan, iaitu Adam dan Hawa, yang menjadikan mereka satu keluarga.
“Firman Allahu Taala bermaksud, “Wahai manusia yang bertakwa kepada Allah yang menjadikan kamu daripada jiwa yang satu Adam dan Hawa dan kamu adalah satu keluarga antara satu sama lain,”. Hasilnya satu ibu bapa kemudian berpecah menjadi bangsa-bangsa yang banyak.
“Yang kedua Surah Al-Hujurat, berkenalan antara satu sama lain. Hidup dalam masyarakat. Tak mungkin satu bangsa itu hidup bersendirian. Tak mungkin satu negeri dalam dunia berasingan negeri lain kerana berbagai-bagai hasil, berbagai kebolehan, mesti ada tukar menukar antara satu sama lain. .
“Barulah boleh hidup secara madani. Ditambah dengan madani yang berakhlak, bermoral dan beriman. Yang penting kita menerima hakikat, kerana inilah yang diajar oleh Islam,” katanya.
Menyentuh soal ketidakseimbangan pembangunan, Tuan Guru berkata, penjajah sengaja mengabaikan pembangunan di kawasan pantai timur dan Malaysia Timur, yang menyebabkan masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam pelbagai aspek seperti pendidikan dan ekonomi.
“Walaupun negara mencapai kemerdekaan, isu ini masih belum dapat diselesaikan. Masyarakat Bumiputera masih ketinggalan, meskipun Malaysia mendapat hasil dari kawasan tersebut, baik dari pantai timur mahupun utara. Namun, pembahagian hasil itu masih tidak adil. Oleh itu, kita perlu menegakkan keadilan dalam masyarakat majmuk ini.
“Walaupun hak istimewa Melayu bumiputera sering disebut, hakikatnya majoriti yang miskin adalah Bumiputera dan orang Melayu. Kebanyakan mereka masih ketinggalan dalam pendidikan dan ekonomi. Masyarakat lain pula, lebih maju dan duduk di bandar. Ini adalah realiti yang berlaku.
“Walaupun hak istimewa diiktiraf, keadilan perlu ditegakkan untuk semua. Orang Cina dan India yang miskin juga perlu dibantu. Tiada beza. Hari ini, kita mesti meraikan titik persamaan antara semua bangsa, kerana itulah asas kemajuan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











