
KUALA LUMPUR: Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), mencadangkan agar tempoh Lesen Tenaga Atom yang dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dipanjangkan daripada tiga tahun kepada tempoh yang lebih panjang.
Beliau berpendapat bahawa langkah itu akan memberikan keyakinan kepada pelabur dalam sektor teknologi Unsur Nadir Bumi (REE) di Malaysia, seterusnya membuka peluang untuk lebih banyak pelaburan dalam bidang ini.
Menurutnya, tempoh lesen yang lebih panjang akan memberi kestabilan dan perancangan jangka panjang kepada pelabur, sekali gus menyokong perkembangan teknologi REE yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
“Di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom Akta 304 ada tak perancangan di peringkat kementerian untuk kita lanjutkan daripada tiga kepada 10 ataupun 15 tahun, kerana dengan lebih panjang ini, dia akan ada kepastian pihak pelabur untuk melabur dalam teknologi REE di dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut bertanya mengenai peranan Agensi Nuklear Malaysia untuk menyediakan prasarana bagi teknologi dan infrastruktur permintaan kepada kenderaan elektrik (EV) untuk membantu pelabur-pelabur di luar sana.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pada masa ini, Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) hanya membenarkan pemberian lesen selama tiga tahun.
“Mungkin mereka (pelabur) kurang yakin untuk melaburkan dalam industri ini. Kami sedang dalam proses menimbangkan mempertimbangkan untuk lanjutan tempoh lesen,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MOSTI melalui Agensi Nuklear dan Tenaga Atom, sedang bekerjasama dengan universiti dan organisasi luar negara untuk menyediakan prasarana dan bakat yang diperlukan, termasuk inisiatif pembinaan makmal pengujian super magnet di Malaysia dengan kerjasama agensi di bawah MOSTI, MIG. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











