
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mencadangkan agar isu berkaitan Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan dibincangkan semula.
Beliau mengusulkan agar kerajaan mempertimbangkan satu undang-undang yang meliputi tiga aspek iaitu jenayah kebencian kaum dan agama, kesaksamaan, serta penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional.
“Saya ada masalah sikit bila menteri jawab soal Akta Mesin Cetak dan Akta Hasutan. Saya rasa kita kena pergi lebih jauh (beyond), sebab itu saya nak bertanya kepada Yang Berhormat Menteri,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini..
Menurutnya, pernah ada cadangan tiga rang undang-undang: rang undang-undang jenayah kebencian kaum dan agama, rang undang-undang kesaksamaan, dan rang undang-undang Suruhanjaya Keharmonian Nasional yang terbit daripada Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dulu.
“Usaha ini dibuat antara tahun 2015 hingga 2017, semasa Perdana Menteri ke-8 dan ke-9. Ketiga-tiga RUU ini masih ada di atas meja ketika kementerian Yang Berhormat ditubuhkan. Saya difahamkan ketiga-tiga RUU tersebut dalam draf yang telah disiapkan oleh majlis ini dengan kerjasama Majlis Peguam,” katanya.
Justeru, Saifuddin mencadangkan agar perkara itu diperhalusi terlebih dahulu.
“Isunya sekarang bukan sekadar ucapan kebencian (hate speech), tetapi telah menjadi kebencian yang diputar belit (hate spin), lebih dahsyat daripada sekadar ujaran kebencian.
“Saya cadangkan agar isu ini dibincangkan semula bagi menilai kewajaran menggubal satu undang-undang yang merangkumi ketiga-tiga aspek tersebut.
“Saya puji Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bertindak pantas. Model ini digunakan di Australia dan Singapura. Namun, KRT tiada autoriti untuk memanggil pihak tertentu. Ini sebabnya RUU Suruhanjaya Keharmonian Nasional penting, kerana ia akan memberi kuasa kepada pihak berwajib untuk bertindak dalam situasi sebegini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama serta RUU Keharmonian telah pun dibincangkan sebelum ini.
“RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama telah ditolak kerana peruntukan mengenainya sudah terkandung dalam Kanun Keseksaan.
“Manakala RUU Keharmonian juga ditolak kerana ia termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta Menteri Perpaduan Negara mengenai kemungkinan penggubalan Akta Anti Diskriminasi Kaum sebagai langkah membendung isu perkauman yang semakin meningkat, termasuk kejadian melibatkan penjaja di Sepang. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











