Aset Tabung Haji: ‘Saya nak tahu perkembangan seterusnya’

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan terkini mengenai perkembangan berkait pengambilan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah diserahkan kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

- Advertisement -

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, UJSB merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan bagi memantapkan kedudukan kewangan ketika berlaku krisis babitkan TH.

“Satu lagi bagaimanakah perkembangan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri pada 29 September 2023, ketika itu dia mencadangkan supaya UJSB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan.

“Sewaktu krisis TH dahulu, pada tahun 2018, untuk dikembalikan semula aset itu kepada TH, cuma saya nak tahu perkembangan seterusnya,” kata Naib Presiden PAS itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH telah memulakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan syarikat SPV, UJSB.

Beliau berkata, antara isu berbangkit ialah penebusan sukuk pada tahun 2025 serta kesan ke atas nilai aset milik UJSB.

“Kita akan memastikan penyerahan semua aset TH adalah teratur dan tidak memberi implikasi kedudukan kewangan TH dan pendeposit, TH masih meneliti option terbaik dalam perbincangan ini.

“Ia dijangka dimuktamadkan insya-Allah pada suku pertama 2025, langkah ini bertujuan memberi manfaat kepada pendeposit amnya dan khususnya TH,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

- Advertisement -