
KUANTAN: Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz, menyifatkan perbuatan lelaki berpakaian seperti wanita adalah tindakan yang bercanggah dengan nilai moral, budaya dan ajaran agama di Malaysia.
Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan norma masyarakat berteraskan adat ketimuran, tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam yang menggariskan batasan jelas mengenai peranan dan identiti lelaki serta wanita.
“Baru-baru ini tular beberapa individu lelaki yang tanpa segan silu berpakaian wanita menonjolkan diri mereka dirancangan Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) yang ditonton jutaan rakyat Malaysia di saluran TV3.
“Kami kira perkara sebegini wajar dibendung daripada menjadi normalisasi kepada masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam.
“Sebagai sebuah masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama dan prinsip ketamadunan, kita harus menolak segala bentuk perlakuan yang mencerminkan keruntuhan akhlak dan nilai-nilai luhur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Islam sebagai agama rasmi negara menuntut umatnya untuk menjaga fitrah dan menolak sebarang penyimpangan daripada ajaran yang telah ditetapkan.
“Hadis Rasulullah SAW jelas menyatakan larangan terhadap perbuatan lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya, kerana ia boleh membawa kepada pelbagai kemudaratan sosial dan moral.
“Fenomena ini juga berpotensi mengundang bala dan kemurkaan Allah SWT, sebagaimana yang telah berlaku dalam sejarah umat-umat terdahulu yang menyimpang dari landasan yang benar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa, agar lebih proaktif dalam membendung gejala ini sebelum ia menjadi semakin berleluasa.
“Kami Pemuda PAS Pahang menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar bersama-sama menegakkan kebenaran dan menolak sebarang bentuk budaya yang bertentangan dengan nilai agama dan moral.
“Semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga menuntut agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya agar perkara sebegini dapat ditegah daripada berulang di masa hadapan.
“Kami juga menggesa agar sebanyak mungkin laporan polis terhadap individu yang berkelakuan tidak sopan ini dibuat agar tindakan pihak berwajib dapat diambil,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











