
MACHANG: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan sektor korporat terus memberikan manfaat kepada rakyat Kelantan, khususnya dalam membantu golongan kurang berkemampuan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 telah menghulurkan sumbangan persekolahan kepada 100 keluarga di DUN Temangan sebagai persiapan sesi persekolahan baharu.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu aspek kewangan masyarakat B40 tetapi juga menunjukkan keprihatinan pihak industri terhadap rakyat luar bandar.
“Masyarakat luar bandar dalam negeri ini terus mendapat manfaat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menghubungkan sektor korporat dan kerajaan negeri,” katanya.
Menurut beliau, majoriti penduduk di DUN Temangan terdiri daripada golongan sederhana dan berpendapatan rendah.
“Ramai bergantung kepada hasil torehan getah, namun keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak,” ujarnya yang juga ADUN Temangan.
Beliau menegaskan bahawa pengagihan bantuan perlu dilakukan secara adil dan saksama tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan politik.
“Seramai 23 penghulu telah dikenal pasti untuk menyalurkan maklumat mengenai golongan yang benar-benar layak menerima bantuan.
“Kita mahu bantuan ini sampai kepada sasaran tanpa sebarang bias politik,” tegasnya.
Selain TNB, beliau turut memaklumkan bahawa PETRONAS telah menghulurkan bantuan barangan harian kepada 100 keluarga, manakala Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyumbangkan RM300 bagi setiap keluarga untuk keperluan persekolahan.
Turut diusahakan, sumbangan zakat daripada syarikat korporat di Kuala Lumpur bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai penerima.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap trend penurunan minat pelajar untuk ke sekolah.
“Jangan kerana hujan malam tadi, esok anak-anak tidak ke sekolah. Pendidikan adalah aset masa depan.
“Kejutkan bangun tunaikan Subuh dahulu, kemudian ke sekolah. Agama mesti diutamakan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim memaklumkan bahawa Program Ceria Ke Sekolah telah bermula sejak 2013 dengan fokus kepada pembangunan sosial, alam sekitar dan kesihatan.
“Kami menyalurkan bantuan kepada 600 pelajar di enam lokasi berbeza sebagai sebahagian daripada usaha ‘memberi balik kepada rakyat’,” katanya.
Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM100 bagi pembelian pakaian sekolah sebagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu. – HARAKAHDAILY 17/2/2025











