Jangan jadi anjing yang menyalak untuk Sang Singa

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAN seharusnya menggunakan suara dan kuasa yang ada untuk menegur kelemahan kerajaan terutama dalam isu melibatkan Melayu-Islam, kata Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim.

- Advertisement -

Menurut beliau, Pemuda PAN juga tidak seharusnya seolah-olah menjadi anjing peliharaan ‘Sang Singa’ yang hanya pandai menyalak apabila bertemu orang luar.

“Rakyat pasti tidak pernah lupa dengan reaksi gembira seorang Timbalan Menteri merangkap Ketua Wanita PAN di atas pentas majlis yang mempamerkan logo arak gergasi di sebuah sekolah suatu masa dahulu.

“Inikah mesej ‘rahmatan lil alamin’ yang ingin dibawa? Bukan sahaja soal sensitiviti agama, PAN juga terlebih sudu dari kuah. Rekod prestasi PAN selama berada di dalam Kerajaan Perpaduan sungguh mengecewakan.

“Pada tahun 2023, biarpun DAP baru sahaja memberi cadangan, tetapi PAN Selangor sudah siap meluluskan usul mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula kawasan parlimen di seluruh negara menjelang PRU16.

“Mungkin semangat sebegini yang menjadikan PAN semakin disayangi di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, rakyat turut tertanya-tanya mengenai modus operandi parti itu untuk memastikan kestabilan ekonomi umat Islam bagi memperkasakan ekonomi bumiputera dan mengurangkan kemiskinan.

“Hakikatnya, PAN seakan membisu dan langsung tidak kedengaran idea alternatif apabila kerajaan menaikkan cukai dan menghapuskan subsidi untuk rakyat.

“Ke mana suara PAN? Setidak-tidaknya, gunakanlah kuasa Menteri yang ada untuk selesaikan isu beras tempatan yang ghaib di pasaran kini,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, adalah lebih baik sekiranya pemuda parti itu mengadakan sesi dialog bersama pasu bunga bagi memenuhi takwim untuk dibentangkan laporan program tersebut pada Konvensyen Tahunan parti mereka kelak.

“Jika mahu terus relevan dalam arena politik tanah air, jemputlah wakil DAP dan berdebat isu yang dibangkitkan untuk dinilai rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

- Advertisement -