Tajuk `Amanah khadam DAP’ tidak manfaatkan rakyat

Nazrul Nazir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menyifatkan topik perdebatan baharu yang dicadangkan oleh Amanah, iaitu mengenai dakwaan parti itu sebagai ‘khadam’ DAP, sebagai sesuatu yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik DPPM, Nazrul Nazir, berkata lebih baik Amanah menumpukan perhatian kepada isu rakyat berbanding mencari publisiti murahan bagi memenuhi laporan tahunan mesyuarat agung parti.

- Advertisement -

“Daripada membuang masa dengan debat bertajuk yang entah apa-apa, lebih baik Amanah fokus kepada isu-isu rakyat. Banyak perkara lebih penting untuk diuruskan daripada melayan polemik sebegini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyindir bahawa jika Amanah benar-benar mahu berdebat, mereka boleh berdebat dengan ‘pasu bunga’ yang tidak boleh bercakap, merujuk kepada peranan Pemuda Amanah dalam kerajaan yang didakwa tidak memberi impak ketara.

Debat politik sering menjadi medan pertembungan antara parti-parti politik tanah air, namun pemimpin dan penganalisis berpendapat bahawa perbincangan yang memberi manfaat kepada rakyat perlu lebih diutamakan berbanding polemik yang tidak membawa impak besar kepada kehidupan seharian masyarakat.

Dalam debat berkaitan survival ekonomi yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, diasak dengan pelbagai persoalan oleh Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Namun dalam sesi debat yang disaksikan oleh audiens yang hadir, Hasbie dilihat gagal mempertahankan kerajaan dalam beberapa isu yang dibangkitkan, termasuk isu berkaitan ekonomi yang masih berlarutan tanpa penyelesaian konkrit.

Antara isu utama yang menjadi tumpuan ialah ketiadaan beras tempatan, yang berada di bawah tanggungjawab Presiden Amanah sendiri. Meskipun perkara ini telah dibangkitkan berulang kali, kerajaan masih belum menunjukkan usaha penyelesaian yang tuntas bagi menangani masalah tersebut.

Bagaimanapun, debat bertemakan survival ekonomi itu dilihat sedikit sebanyak memberi manfaat kepada rakyat dengan membuka ruang perbincangan mengenai dasar ekonomi semasa. – HARAKAHDAILY 16/2/2025

- Advertisement -