Exco T’ganu dipilih anggota JK Eksekutif FAM 2025-2029

Hishamuddin Abdul Karim (kiri) bersama Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ramai yang mengucapkan tahniah atas pemilihan saya dalam kepimpinan kali ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.

- Advertisement -

Beliau menyatakan susulan dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM kali ke-61 yang berakhir hari ini.

Kongres kali ini juga melibatkan sesi pemilihan kepimpinan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.

Hishamuddin mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan Exco dengan 17 undi, di belakang Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas ucapan tahniah tersebut,” ujarnya menerusi laman Facebooknya malam ini susulan ramai yang mengucapkan tahniah kepadanya atas pemilihan itu.

Beliau berkata, walaupun sebenarnya, ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan.

Malah, ujarnya ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.

Menurutnya, situasi sempena kongres itu antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak.

“Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira.

“Malah mereka juga berulang kali ingin memastikan penyertaan saya sebagai calon dalam pemilihan ini,” ujarnya yang juga ADUN Tepoh.

Tambahnya, paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM.

“Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara,” katanya lagi.

Selain beliau dan Zainal Abidin, enam lagi yang dipilih sebagai Exco FAM ialah Datuk Hisamudin Yahaya (16 undi), Azizudin Shariff (16), Datuk Kamarudin Hassan (11), Datuk Sri Yusri Hassan Basri (11), Datuk Dr P Sugumaran (11) dan Tang Chee Hong (11).

Pada kongres Kongres Tahunan FAM kali ini, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM, begitu juga Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram bagi jawatan timbalan presiden.

Empat Naib Presiden FAM yang dipilih ialah Datuk Seri Rosmadi Ismail (17 undi), Datuk Azhar Jamaluddin (17), Datuk Dollah Salleh (16) dan N Saaran (13). HARAKAHDAILY 15/2/2025

- Advertisement -