CPI 2024: Angkara kes DNAA, politik dan duit kopi

Persepsi rasuah di bawah Kerajaan Madani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru mempercepatkan agenda reformasi institusi, memperkukuh mekanisme pemantauan serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

- Advertisement -

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, kedudukan Malaysia yang kekal di tangga ke-57 sama seperti 2023 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 memberi isyarat bahawa reformasi struktur masih belum cukup berkesan.

“Walaupun tiada kemerosotan dalam kedudukan Malaysia, hakikat bahawa kita tidak menunjukkan peningkatan juga memberi isyarat bahawa reformasi struktur masih belum cukup berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perubahan yang lebih mendalam perlu dilaksanakan dalam semua sektor pentadbiran dan ekonomi negara sekiranya Malaysia ingin melonjak dalam kedudukan CPI pada masa hadapan.

Berikutan itu MCW katanya, menggesa agar perbincangan berkaitan CPI tidak hanya tertumpu kepada rasuah semata-mata sebaliknya perlu merangkumi aspek tatakelola secara menyeluruh.

Kelmarin, Transparency International Malaysia (TI-M) mengumumkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 kekal di kedudukan ke-57, dan tidak berubah iaitu 50 mata sejak 2023.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, walaupun tidak mengalami kemerosotan, beberapa faktor mungkin mempengaruhi sebab tiada peningkatan terhadap skor kedudukan Malaysia.

Menurutnya, termasuk semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi yang mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Bilangan kes-kes DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) yang tinggi, diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Selain itu, walaupun pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.

“Laporan buruk yang berterusan dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai kesalahan dan tatakelola yang lemah oleh pegawai kerajaan juga tidak diberikan hukuman yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, walaupun Kerajaan Madani telah memberikan penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi, usaha-usaha pembaharuan institusi masih bergerak dengan perlahan.

Katanya, sektor perniagaan juga masih melihat rasuah sebagai isu utama dengan budaya ‘duit kopi’ yang masih berleluasa dan perlu dibendung dalam sektor awam.

“Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut. Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

- Advertisement -