Perlu langkah tegas tangani isu PATI dan Rohingya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia bukan hanya melibatkan etnik Rohingya, tetapi juga etnik lain,” kata Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat). 

- Advertisement -

Beliau mendedahkan bahawa terdapat kes terbaharu di Tanjung Kupang membabitkan empat tekong asing yang menyusup masuk ke negara ini melalui laluan haram.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memperincikan langkah khusus di peringkat ASEAN dalam menangani kos dan impak kemasukan etnik asing ke Malaysia.

“Rakyat ingin tahu secara spesifik, agensi manakah yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu Rohingya. Kadang-kadang, apabila kita ke polis, mereka menyatakan ini di bawah (Jabatan) Imigresen.

“Tetapi apabila kita ke Imigresen, mereka pula merujuk kepada polis. Jadi, siapa yang sepatutnya menerajui?” soalnya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Mumtaz turut menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah besar etnik Rohingya di Malaysia yang dianggarkan mencecah 400,000 orang namun, beliau difahamkan jumlah dapat dihantar ke negara ketiga hanya sekitar 4,700 orang. 

“Sejauh manakan kerajaan akan membangunkan satu pangkalan data khusus bagi memastikan pendidikan dan pelan pemindahan ke negara ketiga dapat dijalankan dengan lebih berkesan. 

“Empat ribu orang berbanding 400,000 adalah jumlah yang sangat besar,” tegasnya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, statistik tahanan warganegara Myanmar di depoh imigresen Zon Utara setakat 23 Januari 2025 adalah seramai 1,168 orang.

Mengulas mengenai agensi yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu Rohingya, beliau berkata, isu itu ditangani secara bersama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Kita kolaborasi dan melaksanakan tanggungjawab mengikut bidang kuasa, peraturan dan undang-undang masing-masing yang tidak bertindih antara satu sama lain tapi melaksanakan secara kerjasama.

“Itu agensi dan jabatan di bawah Kementerian Negeri malah saya sebutkan tadi di peringkat antarabangsa kita dah memang sedia ada.

“Tapi yang penting juga kerjasama kita dengan Angkatan Tentera Malaysia dan tentunya Majlis Keselamatan Negara memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -