
KUALA LUMPUR: Setiap negara tanpa mengira status perlu berhati-hati dengan penglibatan pihak asing yang dilihat boleh mengancam aspek kestabilan negara.
Penganalisis Politik dan Keselamatan, Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara membangun, malah turut memberi impak kepada negara maju yang mempunyai sistem pentadbiran kukuh.
“Senario seperti campur tangan asing dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016, keputusan referendum Brexit Britain 2016, hutang dan ketergantungan ekonomi melibatkan Sri Lanka-China dan Zambia-China ialah antara contoh situasi tersebut.
“Di peringkat global, kebimbangan terhadap ancaman sedemikian semakin meningkat. Lebih membimbangkan, wujud fenomena di mana pihak-pihak tertentu dari dalam negara sendiri bekerjasama dengan entiti asing untuk mencapai agenda tersembunyi.
“Kolaborasi sedemikian sering berlindung di sebalik aktiviti yang kelihatan sah seperti program pembangunan, aktiviti keagamaan atau inisiatif sosial,” katanya.
Jelas beliau, antara aspek sering dipandang ringan ialah wujudnya orang tengah atau ‘pengantara’ di dalam negara yang bekerjasama dengan pihak asing bagi mencapai matlamat mereka.
“Satu aspek yang sering diabaikan adalah kewujudan ‘pengantara tempatan’ yang bertindak sebagai perantara dengan pihak asing. Golongan ini menggunakan pelbagai platform dan strategi untuk mencapai matlamat mereka.
“Melalui platform institusi, mereka menggunakan NGO tempatan sebagai saluran pengaruh, membentuk organisasi ‘payung’ yang kelihatan sah, dan menganjurkan program dengan agenda tersembunyi.
“Kaedah operasi mereka termasuk penerimaan dana asing melalui saluran tidak formal, pembentukan rangkaian pengaruh dalaman dan penggunaan isu sensitif untuk mencetuskan ketegangan,” ujarnya.
Justeru, beliau memberi peringatan kepada semua pihak di negara ini untuk sentiasa berwaspada dalam setiap aktiviti yang melibatkan pihak asing bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Dalam konteks Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, risiko manipulasi oleh pihak asing melalui pengantara tempatan tidak boleh dipandang ringan.
“Kerajaan, ahli politik, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan peka terhadap kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi dalam setiap aktiviti yang melibatkan pihak asing.
“Kegagalan untuk mengesan dan membendung pengaruh sedemikian boleh mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat dan mengancam kestabilan negara yang telah dibina sejak sekian lama.
“Setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025











