
KUALA LUMPUR: Isu bantut dalam kalangan kanak-kanak Malaysia semakin membimbangkan, dengan kadar di sesetengah kawasan mencecah 20 peratus.
Sehubungan itu, Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), menggesa kerajaan agar memperkukuh agenda pemakanan negara dengan pendekatan menyeluruh merentasi pelbagai kementerian.
Beliau turut membandingkan kadar bantut Malaysia dengan Palestin, yang hanya mencatatkan 4.9 peratus meskipun berdepan konflik berterusan.
“Jadi di manakah silapnya, kenapa kita yang berada di negeri yang penuh dengan makanan tiba-tiba kadar bantut kita tinggi? Apa kesan kepada bantut ini? Kesannya bukan hanya kepada ketinggian kanak-kanak, mereka menjadi orang yang rendah tetapi perkembangan otak mereka juga terbantut. Jadi ini perkara yang membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mumtaz turut menyambut baik pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, namun menegaskan bahawa inisiatif itu masih tidak mencukupi.
“Kita lihat gerakan yang dibuat oleh kerajaan untuk memberikan RMT kepada kanak-kanak sekolah, adalah tindakan yang baik. Walau bagaimanapun, ia tidak mencukupi kerana faktor kesedaran ibu bapa berkenaan dengan pemakanan kanak-kanak ini adalah agenda besar.
“Jadi saya mencadangkan pada pihak kerajaan supaya agenda pemakanan negara ini perlu difahamkan mengikut dan merentasi pelbagai kementerian sebagai contohnya dari segi kementerian ekonomi, Kementerian Kewangan mesti memberikan bajet yang mencukupi kepada isu berkaitan dengan nutrisi dan pemakanan supaya sebagai contoh harga susu dan harga telur diperhatikan dan direndahkan supaya dapat dibeli oleh semua pihak termasuklah B40.
“Kita lihat hari ini bila tak libatkan nutritionist mereka ini makan tetapi ia tidak memberikan apa-apa nutrisi kepada kanak-kanak dan ini jangka panjangnya akan menyebabkan negara kita kehilangan tokoh-tokoh dalam bidang sukan, cendekiawan, kepimpinan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan statistik kadar bantut mengikut kaum di Malaysia, iaitu 21.8 peratus dalam kalangan Melayu, 19 peratus Cina, lima peratus India, dan hampir empat peratus Bumiputera lain.
“Jadi adakah kita bermegah dengan KDNK yang tinggi tapi kanak-kanak kita tidak sihat sebagaimana sepatutnya berbanding dengan kanak-kanak di Korea dan juga di Jepun,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025











