Guna tenaga alternatif, kurangkan beban rakyat

Dato' Abdul Khalib Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap serta beralih kepada tenaga alternatif bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik.

- Advertisement -

Dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini, Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani isu ini ketika mengemukakan soalan tambahan.

“Jadi soalan saya, apakah inisiatif yang dijangka diperkenalkan oleh kerajaan untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih efisien berbanding menaikkan tarif dan sudah pasti rakyat menanggungnya setiap kali berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Dan adakah kerajaan bersedia dengan penggunaan tenaga alternatif seperti tenaga solar dan tenaga nuklear yang jika dikaji dan dibuat R&D serta mengambil contoh negara maju lain ianya adalah sumber tenaga yang lebih efisien dan menjimatkan kos dan sudah tentunya baik kepada rakyat mahu mahupun kepada kerajaan.

“Sebenarnya ia telah dilakukan oleh kebanyakan negara maju malah negara jiran kita juga sudah mula beralih kepada sumber tenaga alternatif,” katanya.

Menjawab persoalan itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadhillah Yusof berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa skim untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan tarif elektrik.

“Pertamanya untuk kategori B40 yang tersenarai mereka diberi rebat RM40. Itu untuk pastikan kumpulan sasar kita tidak akan terbeban dengan kenaikan,” katanya.

Pada pertanyaan asal, beliau meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah rasional di sebalik hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik walaupun negara jiran terdekat mempunyai perancangan sebaliknya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -