
KUALA LUMPUR: Secara purata, tiga buah lori terlibat dalam kemalangan setiap hari, menyumbang kepada 5,364 kematian sepanjang tahun 2024 di Malaysia.
Antara Januari 2019 hingga November lalu, sebanyak 3,500 nahas kemalangan membabitkan lori direkodkan di seluruh negara, dengan jumlah kematian seramai 1,457 orang.
Sehubungan itu, Zakri Hassan (PN-Kangar) mengemukakan soalan tambahan berhubung langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu kemalangan maut melibatkan lori.
“Jadi soalan saya, bagaimanakah pihak kementerian memastikan keberkesanan penubuhan pasukan petugas khas dalam menangani insiden membabitkan kemalangan maut melibatkan lori-lori dan apakah tindakan susulan yang diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan selain daripada protokol pemeriksaan yang rapi?
“Dan soalan terakhir, adakah kerajaan bercadang mewujudkan mekanisme khas bagi mengesan dan menjejaki kenderaan perdagangan yang menggunakan alat ganti sewa ketika peperiksaan di fasiliti Puspakom?” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius kemalangan yang melibatkan kenderaan berat dan telah mengambil langkah sewajarnya.
“Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat ini. Dia soal pemeriksaan kenderaan itu satu bab. Tetapi ada juga isu-isu lain seperti overloading.
“Kenderaan-kenderaan berat secara umumnya kita tahu bahawa banyak overloading, banyak yang mengambil muatan yang lebih daripada yang dibenarkan. Jadi itu kita ada pelbagai langkah untuk kita menangani isu tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024











