Perlu luas SKBBK kepada pekerja sektor gig, kontrak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai perlindungan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), khususnya terhadap pekerja sektor gig dan pekerja kontrak yang semakin meningkat di Malaysia.

- Advertisement -

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) menekankan kepentingan memastikan kebajikan pekerja gig yang tidak mempunyai majikan tetap turut diberi perhatian di bawah skim perlindungan tersebut.

“Adakah skim ini turut merangkumi pekerja sektor gig dan juga pekerja kontrak yang semakin meningkat di Malaysia ini?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada soalan asal, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam)  meminta kerajaan menjelaskan mekanisme pelaksanaan SKBBK dan sejauh mana ia dapat menangani cabaran risiko pekerjaan, termasuk dalam aturan kerja anjal.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan sedang dalam usaha memperluaskan perlindungan SKBBK bagi merangkumi pekerja sektor gig dan mereka yang bekerja tanpa majikan tetap.

“Rekod kita menunjukkan sebanyak 86,529 kes kemalangan kerja telah berlaku. Skim ini sebelum ini hanya melindungi pekerja dalam tempoh lima hari bekerja, tetapi kita mahu meluaskannya termasuk kepada pekerja sektor gig seperti yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -