Keselamatan taman tema

- Advertisement -

PENGOPERASIAN taman tema di Malaysia bukanlah perkara baru. Di Malaysia taman tema pertama dibuka ialah pada tahun 1975 iaitu Taman Tema Mimaland di Gombak, Selangor. Pembinaan taman tersebut telah bermula seawal tahun 1971-an dan siap sepenuhnya pada tahun 1975. Nama Mimaland itu sendiri sebenarnya adalah singkatan daripada perkataan Malaysia In Miniature Land yang dibina di kawasan bukit dan berkeluasan 300 ekar yang bertemakan pendidikan, iaitu berkaitan dengan Taman Haiwan Prasejarah. 

Boleh dikatakan banyak taman tema terpaksa ditutup apabila ia gagal untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sama ada pada pekerja mahupun pengunjung. 

Berikut antara insiden yang pernah berlaku di taman tema:

Mimaland, Gombak (1993):

Seorang juruteknik dari Singapura mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di gelongsor gergasi di kolam renang Mimaland. Beliau mengalami kecederaan pada tulang belakang dan meninggal dunia akibat kecederaan tersebut. Selepas insiden ini, Mimaland ditutup sementara untuk penambahbaikan, namun ditutup secara kekal pada tahun 1994 selepas kejadian tanah runtuh yang merosakkan kawasan kolam renang.

- Advertisement -

Safari Lagoon Waterpark, Pandan Perdana (Januari 2007):

Seorang pekerja maut akibat lemas setelah terperangkap dalam pam air bertekanan tinggi ketika cuba mengambil barang milik pengunjung. Insiden ini mendedahkan bahawa taman tema tersebut telah beroperasi tanpa lesen selama sembilan tahun. Akibatnya, Safari Lagoon Waterpark ditutup pada tahun 2007.

Lost World of Tambun (Ogos 2020):

Pada Ogos 2020, seorang juruteknik berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalam air oleh rakan sekerjanya di Lost World of Tambun, Ipoh. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah menjalankan siasatan berhubung insiden ini.

Terkini insiden berlaku di  Taman Tema I-City, Shah Alam yang melibatkan sebuah pelampung dari gelongsor air kaca terjatuh dan menimpa seorang pengunjung. Pihak polis telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan.  

Bagi menjamin kualiti dan standard pengoperasian taman tema pihak kerajaan ada mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Taman Tema yang telah disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia) untuk membantu pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan pemaju dalam merancang, mengawal, dan menentukan kesesuaian lokasi serta kemudahan sokongan bagi pembangunan taman tema.

Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan pula pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ada mengeluarkan Garis Panduan bagi Pengurusan Keselamatan Peralatan Taman Hiburan, 2008 yang bertujuan memastikan keselamatan peralatan di taman tema dan hiburan.

Objektif utama garis panduan tersebut adalah:

Menetapkan prosedur operasi standard (SOP): Menyediakan panduan bagi pengurusan operasi harian yang selamat untuk peralatan taman hiburan.

Pemeriksaan dan penyelenggaraan: Menggariskan keperluan untuk pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan peralatan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan selamat digunakan.

Latihan untuk pekerja: Menekankan kepentingan latihan keselamatan bagi pekerja yang terlibat dalam operasi dan penyelenggaraan peralatan taman hiburan.

Pengurusan risiko: Mengenal pasti potensi hazard dan menetapkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan.

Garis panduan ini adalah rujukan penting bagi pengusaha taman tema dan hiburan di Malaysia untuk memastikan keselamatan pengunjung dan pekerja. Jika pihak yang bertanggungjawab dapat melaksanakan tugas mereka dengan betul, diharap kemalangan di taman tema ini dapat dicegah!

Ts. SHAHRONIZAM NOORDIN 
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  – HARAKAHDAILY 3/2/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -