DHPP mahu fokus menangkan PAS PRU akan datang

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen untuk terus istiqamah dalam perjuangan serta kekal setia kepada kepimpinan parti.

- Advertisement -

Ketuanya, K Jayaraman berkata, sebagai sebahagian daripada PAS, DHPP Pulau Pinang menerima dan menghormati setiap keputusan yang dibuat demi kepentingan rakyat dan negara.

“DHPP Pulau Pinang akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk serta memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, atau status sosial.

“Sebagai sebuah sayap PAS yang juga parti komponen Perikatan Nasional (PN), DHPP ingin menekankan fokus utama untuk terus bekerjasama erat bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Sesiapa yang memimpin gabungan ini di Pulau Pinang pada PRU-16 wajib menjadikan kerjasama antara parti komponen PN sebagai keutamaan.

“Kami yakin bahawa gabungan ini akan menarik perhatian pengundi dan mampu membawa perubahan yang lebih baik dalam memenuhi aspirasi rakyat dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya lagi, DHPP Pulau Pinang berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kesejahteraan, dan keharmonian.

“Setiap keputusan yang diambil oleh parti adalah berlandaskan kepentingan bersama, dan kami komited untuk memastikan aspirasi PAS diterjemahkan secara menyeluruh kepada masyarakat.

“Dalam suasana politik semasa, setiap parti berusaha menampilkan diri sebagai pilihan terbaik untuk menawan Pulau Pinang menjelang pilihan raya akan datang. Namun, DHPP tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangan yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kami akan terus bekerja bagi memastikan setiap inisiatif dan usaha yang digerakkan berlandaskan kepentingan masyarakat dan kesejahteraan negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/2/2025

- Advertisement -