
SHAH ALAM: Pengoperasian permainan gelongsor air kaca di i-City, di sini yang disifatkan berbahaya kerana didapati tidak mempunyai kelulusan daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sukri Omar menyifatkan perkara itu membimbangkan, khususnya ibu bapa yang sedang meraikan cuti bersama anak-anak mereka di tempat pelancongan, taman tema dan pusat permainan dalam negeri itu.
“Persoalan yang paling besar ialah, mengapa permainan yang amat merbahaya seperti itu boleh beroperasi secara bebas sebegitu rupa?
“Di manakah integriti dan kecekapan pihak penguat kuasa oleh Kerajaan Negeri Selangor? Apakah ada masalah dengan ‘Standard Operating Procedure (SOP)’ dan undang-undang sedia ada?
“Atau, apakah sebenarnya masih banyak pusat-pusat pelancongan atau permainan yang masih belum mendapat kelulusan dan pada masa yang sama sedang beroperasi dengan bebas?” soalnya dalam satu kenyataan.
PAS Selangor katanya, turut menyoal kesediaan Kerajaan Negeri Selangor dalam menghadapi program Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan seramai lapan juta pelancong.
“Apakah isu penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur yang sering menjadi masalah di negeri Selangor ini akan juga memberi kesan negatif kepada program ini?” katanya.
PAS Selangor katanya, juga menyeru Kerajaan Negeri Selangor supaya menyemak kembali segala persediaan dari sudut dasar dan teknikal secara komprehensif tanpa melihat isu ini dengan sebelah mata.
“Imej dan kredibiliti negeri Selangor akan terjejas teruk sekiranya kerajaan negeri tidak ambil serius dan sambil lewa dalam hal ini. Jangan sampai berlakunya kemalangan jiwa sehingga meragut nyawa baru kita mahu fokus dan serius,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 31/1/2025











