
KOTA BHARU: Sebanyak 621 masjid di seluruh Kelantan menerima sumbangan dana sebanyak RM670,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi melaksanakan program dan aktiviti Ihya’ Ramadan tahun ini.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, sumbangan tersebut bertujuan memastikan aktiviti Ihya’ Ramadan berlangsung dalam suasana yang baik dan teratur.
“Peruntukan ini disalurkan bagi menyemarakkan pengisian Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah seperti majlis ilmu, tadarus al-Quran, moreh serta program kebajikan untuk golongan yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, MAIK komited untuk terus menyokong institusi masjid dalam memperkasa peranan mereka sebagai pusat pembangunan masyarakat dan penyebaran ilmu agama.
Katanya, sumbangan tersebut juga diharapkan dapat meringankan beban pengurusan masjid dalam menyediakan keperluan bagi menyambut bulan mulia ini.
Terdahulu, MAIK telah menyampaikan sumbangan itu secara berperingkat kepada pihak pengurusan masjid yang terlibat di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 31/1/2025











