
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa perjuangan membela Palestin tidak akan terhenti walaupun gencatan senjata berlaku.
Beliau berkata, solidariti terhadap Palestin bukan sekadar usaha rakyat Malaysia, tetapi menjadi gerakan global yang membuka mata seluruh dunia terhadap kezaliman yang berlaku.
“Satu sejarah telahpun terukir pada hari ini di mana suatu rundingan gencatan senjata berlaku di antara kota kecil yang namanya Gaza, dengan seluruh dunia yang berada di satu pihaknya lagi.
“Alhamdulillah dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT, Gaza tidak mampu dihancur dileburkan oleh Israel dalam masa setahun setengah, tetapi yang hancur dan lebur adalah bandar Los Angeles, California di Amerika Syarikat (AS).
“Ini sepatutnya merupakan suatu petanda dan isyarat yang sepatutnya difahami oleh seluruh masyarakat dunia bahawa yang berkuasa sebenarnya ialah Allah Azzawajalla,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Masjid Negara, di sini hari ini.
Beliau juga Ahli Parlimen Pasir Mas, mengingatkan umat Islam dan masyarakat dunia agar tidak beranjak dalam isu Gaza kerana ia adalah tanah suci milik umat Islam di Palestin.
Selain itu, beliau turut mengecam gesaan terbaru Presiden AS, Donald John Trump yang mencadangkan agar penduduk Gaza berpindah ke Mesir atau negara jiran sebagai penyelesaian konflik di wilayah itu.
Fadhli menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal.
“Tindakan itu merupakan satu gesaan yang cukup dangkal, bagaimana tuan rumah yang asal nak diusir dengan memberikan kepada orang lain untuk duduk di bumi Gaza?
“Apa perasaan Donald Trump, kalau tuan pula diusir keluar daripada Amerika Syarikat diminta berhijrah ke selatan Afrika dan hutan Amazon? Ini satu perkara yang patut difikirkan oleh umat manusia yang bertamadun,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa umat Islam dan seluruh masyarakat dunia harus terus berjuang mempertahankan Gaza daripada sebarang bentuk penindasan dan penjajahan.
“Dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT, Insya-Allah seluruh umat manusia yang mengenali tamadun kemanusiaan yang tahu hak-hak dan keadilan, kita bersama dengan penduduk Gaza.
“Kita akan pertahankan bumi Gaza, bukan setakat hari ini, bukan setakat hari esok, tetapi untuk selama-lamanya selagi hayat dikandung badan Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta Alternative Riding Club (ARC) melalui Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan kepimpinan PAS yang telah menjayakan Konvoi Jelajah Minggu al-Quds Peringkat Selangor.
“Saya dimaklumkan rombongan akan terus bergerak sehingga ke Kelantan dan akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 8 Februari di Dataran Kemahkotaan Machang, Kelantan.
“Insya-Allah, kita jumpa di sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/2025











