
KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi mengkaji secara menyeluruh sistem kesihatan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, kajian itu perlu meliputi setiap aspek, bermula daripada proses pengambilan pelajar perubatan sehingga kepada pelaksanaan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.
“Keputusan separuh masak yang dijadikan polisi tanpa melibatkan perbincangan bersama pemegang taruh sering mengundang isu.
“Contoh yang jelas termasuk penamatan biasiswa untuk pelajar perubatan, penambahan waktu bekerja jururawat dan pelaksanaan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang kemudiannya ditarik balik,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS berkata, setiap keputusan dalam sektor kesihatan perlu bersifat holistik dan mengambil kira kepentingan jangka panjang.
“Isu-isu lain dalam sektor kesihatan perlu dikaji dengan mendalam dan bijaksana untuk memastikan keputusan yang diambil tidak hanya bersifat sementara, tetapi mampu memberi manfaat jangka panjang kepada semua pihak,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB yang dirancang sebelum ini bagi memberi laluan kepada sebuah kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh pada Jumaat lalu (24 Januari).
Tindakan itu sudah semestinya disambut dengan nafas lega oleh para Pegawai dan Pakar Perubatan KKM, namun keputusan itu telah menimbulkan reaksi berbelah bahagi khususnya dalam kalangan para Jururawat KKM.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Reen Mohd Amin berkata, tindakan berat sebelah di antara pembatalan projek rintis WBB bagi doktor dan penerusan waktu bekerja 45 jam bagi jururawat adalah suatu ketidakadilan yang boleh menggugat keharmonian bekerja.
“Keputusan ini dilihat telah dibuat tanpa diperhalusi dengan mendalam, serta telah diumumkan sebelum sesi libat urus menyeluruh diadakan bersama petugas-petugas kesihatan yang bekerja secara langsung di lapangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2025











