Sokong langkah kajian kawalan penjualan arak

Demi kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

PEMUDA PAS Malaysia mengambil maklum keputusan Kerajaan Negeri Perak yang membenarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk terus mengkaji peraturan kawalan jualan arak di negeri ini. Kami menyambut baik langkah ini sebagai satu usaha ke arah memastikan kesejahteraan masyarakat, mengurangkan kesan negatif alkohol, serta memelihara keharmonian antara kaum dan agama.

Sebagai sebuah negara yang menitikberatkan nilai-nilai Islam dan kesejahteraan masyarakat majmuk, sebarang usaha untuk mengawal penjualan arak adalah satu langkah yang wajar. Statistik telah membuktikan bahawa penyalahgunaan alkohol sering dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah, kemalangan jalan raya, dan masalah sosial lain. Justeru, langkah kerajaan negeri untuk meneliti peraturan ini bukanlah satu bentuk sekatan semata-mata, tetapi lebih kepada memastikan keseimbangan dalam aspek kesihatan, keselamatan dan moral masyarakat.

Pemuda PAS Malaysia juga ingin menegaskan bahawa kawalan penjualan arak bukanlah satu tindakan menafikan hak mana-mana kaum atau agama, sebaliknya ia bertujuan untuk melindungi kepentingan semua rakyat. Malah, banyak negara bukan Islam turut mengamalkan kawalan ketat terhadap penjualan dan penggunaan alkohol kerana menyedari impak buruknya kepada masyarakat.

- Advertisement -

Pemuda PAS menyeru agar kerajaan negeri Perak dapat mempercepatkan proses kajian ini dan menetapkan garis panduan yang lebih ketat terhadap penjualan serta pengiklanan arak, khususnya di kawasan terbuka dan berdekatan kawasan sensitif seperti sekolah serta tempat ibadah. 

Pemuda PAS juga menggesa supaya kesedaran mengenai bahaya alkohol diperluaskan melalui kempen pendidikan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Pemuda PAS Malaysia akan terus mendukung sebarang usaha yang membawa kebaikan kepada rakyat dan selari dengan prinsip Maqasid Syariah, yang menitikberatkan pemeliharaan akal dan nyawa sebagai sebahagian daripada keutamaan dalam pentadbiran negara.

“Kita Memimpin”

USTAZ MOHD HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
ADUN Manjoi – HARAKAHDAILY 28/1/2025

- Advertisement -