Jalan Hang Tuah jadi Jonker Walk 2.0 – DAP jangan gatal mulut

- Advertisement -

SAYA tidak bersetuju langsung dan membantah keras jika ada cubaan untuk menjadikan Jalan Hang Tuah kepada Jonker Walk 2.0 seperti yang disarankan oleh ADUN Kota Laksamana Low Chee Leong dari DAP.

Untuk pengetahuan pembaca, terdapat dua buah Masjid berdekatan Jonker Walk iaitu Masjid Kampung Hulu dan Masjid Keling yang kini dikelilingi oleh rumah kedai dan gedung perniagaan yang dikuasai oleh peniaga Cina.

Sampai hari ini kita tidak pernah dengar orang Melayu Melaka membantah wujudnya Jonker Walk yang dimaklumi sebagai pusat kebudayaan kaum Cina dan Baba Nyonya walaupun Jonker itu bersandarkan kepada nama Belanda.

Sikap toleransi dan saling menghormati yang ada pada orang Melayu membolehkan Jonker Walk menjadi objek wisata Melaka yang terkenal serta mengukir nama di peringkat dunia.

- Advertisement -

Sepantasnya Hang Tuah Walk yang terletak di Jalan Hang Tuah di kekalkan namanya dengan konsep Melayu Islam.

Apa yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Melaka adalah bagaimana nilai-nilai budaya Melayu yang bertunjang kepada nilai Islam ini perlu diangkat dan dijadikan objek Wisata dan produk pelancongan.

Islam bertapak di Melaka pada tahun 1402 apabila Sultan pertamanya iaitu Parameswara memeluk Islam dan seterusnya menjadikan  Melaka sebagai Pusat Dakwah di rantau ini.

Jasa Melaka sangat besar dalam mengembangkan Islam ke serata Nusantara hingga ke Papua. Semua ini telah dipadamkan oleh penjajah.

Budaya Melayu sangat sinonim dengan ungkapan ‘Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah’ perlu diangkat kembali serta dilestarikan sebagai High Conservation Value (HCV) yang hari ini semakin pupus dengan kebanjiran budaya asing.

Hang Tuah Walk boleh dijadikan daya tarikan pelancong yang ingin mengenali budaya dan adat istiadat Melayu dengan lebih dekat dari segi kulineri dan makanan tradisional, kraftangan, seni khat pakaian dan berbagai lagi yang semuanya sudah tentu akan jauh berbeda dari apa yang ditawarkan di Jonker Walk sekarang ini.

Saya melihat bagaimana Thailand berjaya mengangkat budaya dan tradisi  ke pentas antarabangsa sebagai objek wisata.

Kerajaan Melaka perlu ada ‘political will’ serta keazaman yang kuat membantu dari segi prasarana dan dana serta memasukkannya ke dalam kalendar pelancongan sebagai tempat wajib dikunjungi.

Perayaan dan hari besar Islam boleh diadakan di sini seperti mana hari-hari besar kaum Tionghua diadakan di Jonker Walk.

Malangnya Kerajaan Melaka lebih dilihat hanya mempromosikan kawasan sekitar Bandar Hilir dan Jonker Walk sahaja sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Bijak laksana Tuah
Berani laksana Jebat

BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu – HARAKAHDAILY 26/1/2025

- Advertisement -