
KOTA BHARU: Pasukan Budok Kelate FT berjaya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Futsal Anak Kelantan di Perantauan Zon Utara yang berlangsung di Sunway Sport Centre, di sini kelmarin.
Kejayaan tersebut melayakkan kumpulan berkenaan membawa pulang ganjaran wang tunai RM800.
Sementara itu Naib juara, SML FC, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM600, manakala tempat ketiga dimenangi oleh PERAKAN Kangar dengan ganjaran RM400.
KEHL FC yang hanya berada di tempat keempat terpaksa akur dengan menerima hadiah sebanyak RM300.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama PERAKAN Malaysia dan PERAKAN Utara.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.
Ketika berucap pada majlis itu Huzaimy berkata, program berkenaan dianjurkan untuk memupuk rasa kebersamaan anak-anak perantau.
Menurutnya, melalui kaedah bersukan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama anak Kelantan di perantauan.
Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad berkata, program ini menawarkan kelainan daripada program-program lain yang biasa dianjurkan.
“Objektif utama adalah untuk mencipta kelainan dalam penganjuran program serta menyantuni, menarik, dan mendekati golongan muda,” katanya.
Beliau berharap acara seperti ini terus menarik minat generasi muda untuk menyertai program-program anjuran kerajaan negeri, di samping menggalakkan semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anak Kelantan di perantauan.
Pertandingan futsal ini menyaksikan penyertaan lebih 200 peserta daripada 19 pasukan, termasuk wakil dari Kerian, Perak dan Kangar, Perlis, menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti perantau. – HARAKAHDAILY 27/1/2025












