Sumbang ‘Back To School’, Tahun Baru Cina serentak

- Advertisement -

BALING: Seramai 200 pelajar dalam kalangan anak-anak keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, menerima sumbangan sempena program ‘Back To School’.

- Advertisement -

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria pada majlis yang diadakan di Padang Awam, Kuala Ketil, di sini semalam.

Kata beliau, pihaknya amat memahami keperitan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa setiap kali menjelang sesi persekolahan setiap tahun.

“Tambah pula, sesi persekolahan 2025 ini bermula hampir sangat untuk menyambut Ramadan. Memang agak mencabar, apatah lagi bagi keluarga kurang berkemampuan,” kata beliau.

Masing-masing menerima baucar bernilai RM150 dan penerima boleh mendapatkan kelengkapan pakaian dan peralatan sekolah mengikut nilai tersebut di Kedai Pakaian Zakaria & Rohati, Kuala Ketil.

Dalam pada itu Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Ketil, juga berbesar hati atas kerjasama dan sumbangan para penaja membantu menjayakan program berkenaan.

Sementara pada masa sama, turut diadakan penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina kepada penerima dari kalangan masyarakat Tiong Hua yang kurang bernasib baik.

Selain 50 hamper dan ‘angpau’ yang disediakan oleh kerajaan negeri, PKWR DUN Kuala Ketil turut menambah 20 hamper dan ‘angpau’ menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 70.

Kata Mansor, tambahan 20 hamper dan  ‘angpau’ itu kerana jumlah masyarakat Tiong Hua di Kuala Ketil agak ramai.

Majlis tersebut turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat India, Cina, Siam dan NGO, Wong Chia Tzen. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

- Advertisement -