Taufan Al-Aqsa bukti jihad kunci kemuliaan umat Islam

Gencatan senjata simbol kemenangan Palestin

- Advertisement -

KANGAR: Keteguhan umat Islam dalam memperjuangkan pembebasan Palestin membuktikan jihad di jalan Allah adalah kunci kemuliaan dan kekuatan, kata Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis, Ustaz Yusni Mat Piah.

- Advertisement -

Menurut beliau, lebih 400 hari Taufan Al-Aqsa menjadi simbol ketabahan umat Islam, khususnya di Gaza, yang terus berjuang dengan cita-cita tertinggi untuk syahid.

“Kemuliaan umat Islam bukan pada jumlah atau kekuatan material, tetapi pada keberanian mereka meletakkan jihad sebagai jalan perjuangan dan kesediaan mati di jalan Allah,” ujarnya ketika menyampaikan Pidato Al-Aqsa sempena Pelancaran Minggu Al-Quds di Dataran ABC, di sini semalam.

Beliau turut mengingatkan, pembukaan pintu Rafah yang membawa sedikit kelegaan adalah langkah kecil dalam perjuangan besar yang masih belum selesai.

“Kemenangan sebenar hanya akan tercapai apabila Masjid Al-Aqsa dikuasai dan Palestin dibebaskan sepenuhnya daripada cengkaman Zionis,” tegasnya.

Tambah beliau, dunia Islam perlu mengambil iktibar Yahudi tidak pernah tunduk atau memegang janji mereka.

“Selagi kita istiqamah dengan Islam, Yahudi tidak akan pernah redha dengan kita. Ini hakikat yang perlu disedari semua umat Islam,” katanya lagi.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman dalam majlis sama berkata, gencatan senjata yang tercapai antara HAMAS dan Israel disifatkan sebagai simbol kemenangan buat Gaza, Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Jelasnya, walaupun Israel berusaha mendominasi Masjid Al-Aqsa, mereka tidak pernah mengakui kemenangan, manakala rakyat Palestin pula tetap teguh tidak mengaku kalah.

Tegas beliau, sejak sekian lama, Masjid Al-Aqsa terus kekal menjadi milik umat Islam meskipun melalui pelbagai ancaman dan usaha Israel untuk menghapuskan kehadiran rakyat Palestin di kawasan tersebut tidak pernah berjaya.

“Rakyat Palestin tidak pernah mengaku kalah. Kita berada dalam fasa kemenangan. Jangan patahkan momentum ini, teruskan perjuangan,” katanya ketika menyampaikan pidato.

Menurutnya lagi, fenomena sokongan terhadap perjuangan Palestin, khususnya dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa, telah merentas sempadan agama, apabila bukan sahaja umat Islam, tetapi juga masyarakat bukan Islam di seluruh dunia tampil menyatakan solidariti melalui demonstrasi dan himpunan jalanan.

“Semangat perjuangan ini bukan atas dasar kaum tetapi kerana ikatan akidah. Jangan putuskan semangat ini. Akhirnya, kita akan solat di Masjid Al-Aqsa,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

- Advertisement -