
KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) kini sedang giat mencari pemain berkualiti yang akan dinilai dari segi bakat dan kesungguhan untuk menyertai pasukan berkenaan.
Sehubungan itu, KRW FC akan mencari pemain seramai 24 hingga 25 orang di seluruh negeri Kelantan di setiap daerah yang benar-benar berminat termasuk di Shah Alam.
Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, pemain perlu bagus dari segi fizikal, ‘cerdik’ dan tidak ‘kedekut’ bola ketika beraksi.
Katanya, tidak kedekut bola ketika beraksi amat penting kerana ia membuktikan semangat untuk bermain secara berpasukan.
Irfan Bakti juga mengingatkan peserta yang menyertai pemilihan untuk bermain bersama KRW FC dalam tempoh sebulan ini supaya memanfaatkan peluang dengan menonjolkan bakat masing-masing.
“Jangan malu-malu, tunjukkan kemahiran yang ada, peluang untuk berlatih masih banyak sekitar lima bulan dari sekarang sebelum menyertai Piala FA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Kelantan Red Warriors – The Next Hero di Padang Sintetik, di sini pada Jumaat.
Menjawab soalan, Irfan Bakti turut menepis pandangan sinis pihak-pihak tertentu yang meragui KRW FC kerana menjangka pasukan itu tidak mampu beraksi baik dalam arena sukan bola sepak.
Irfan yang dilantik oleh pihak pengurusan KRW untuk mengendalikan pasukan tersebut turut menegaskan beliau tidak akan bersama dengan Kelantan jika tidak berkeyakinan untuk membawa pasukan terbabit kembali ke zaman kegemilangan
“Bagi saya pandangan-pandangan itu barangkali dari mereka yang takut berlaku perkara yang tidak diingini. Namun bagi saya, kalau saya tak yakin, saya tak balik ke sini,” katanya.
Sebaik penubuhan KRW FC pada Disember tahun lalu, pelbagai pandangan prejudis berlegar terutama di media sosial antaranya pasukan itu tidak akan mampu beraksi ke liga lebih tinggi dan didakwa hanya setakat menyertai Liga A1 Semi-Pro sahaja.
Irfan Bakti bagaimanapun menghormati hak individu untuk memberikan pandangan masing-masing dan tetap fokus dalam membuat pemilihan pemain terbaik bagi membarisi pasukan kendaliannya. – HARAKAHDAILY 26/1/2025











