Konvoi Al-Quds jelajah Malaysia semarak solidariti

Palestin

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyempurnakan pelepasan konvoi Minggu Al-Quds Sedunia 2025 di Batu Kilometer 0, di sini, semalam sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

- Advertisement -

Konvoi ini melibatkan 200 peserta dari pelbagai latar belakang, yang berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada hak Palestin dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Perjalanan bermula dengan destinasi pertama ke Dataran Kurung Tengar, Kuala Perlis, sebelum 15 peserta utama meneruskan perjalanan ke Rehat dan Rawat (R&R) Pauh.

Di R&R Pauh, baton perjuangan diserahkan secara simbolik kepada Alternative Riding Club (ARC) Kedah, yang akan meneruskan konvoi ke negeri-negeri lain.

Program ini dijadualkan meliputi seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan matlamat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu Palestin serta peranan umat Islam mempertahankan Al-Aqsa.

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, selaku Penasihat ARC, mengetuai konvoi bersama kumpulan penunggang motosikal yang membawa mesej perpaduan dan perjuangan.

Mohd Shukri dalam ucapan pelepasan menegaskan, perjuangan membebaskan Al-Aqsa mesti diteruskan sehingga keadilan ditegakkan dan Palestin merdeka.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak berhenti menyokong usaha ini selepas Minggu Al-Quds Sedunia berakhir.

Majlis pelepasan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun.

Konvoi ini akan berakhir pada 8 Februari di Kelantan, membawa moto ‘Demi Al-Aqsa: Masjid dan Amanah Kita’.

Ia diharapkan dapat menyemarakkan semangat perpaduan umat Islam serta memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

- Advertisement -