Bebas tahanan: Al-Qassam buat kejutan lagi

- Advertisement -

SELEPAS seminggu tahanan pertama rejim Zionis dibebaskan oleh Briged Al-Qassam, kali ini sedikit berbeza. Pada hari Sabtu, 26 Januari 2025, Briged Al-Qassam belajar daripada proses sebelumnya. Ketika itu tidak ramai tentera pejuang terlibat sama. Tukaran pula orang awam. Proses agak kelam-kabut kerana dipenuhi, diasak dan dikelilingi penduduk Gaza dengan sangat dekat.

- Advertisement -

Kali ini, tentera pejuang yang terlibat agak ramai. Briged Al-Qassam, cabang tentera HAMAS bergabung dengan Saraya Al-Quds, cabang tentera Jihad Islam. Al-Qassam berbaju celoreng hijau, bertutup muka hitam, berlilit kain hijau. Saraya Al-Quds berbaju hitam.

Ketika perang menentang rejim Zionis tempoh hari, Al-Qassam kadang-kadang melakukan operasi bersama Saraya Al-Quds. Justeru, kebersamaan ini menggambarkan perpaduan sesama pejuang sebelum, semasa dan selepas perang. Ini sangat penting untuk menentang rejim Zionis.

Sejam sebelum proses pembebasan tahanan dilakukan, pejuang Al-Qassam dan Saraya Al-Quds memenuhi Dataran Palestin, melingkungi podium tempat tandatangan antara Al-Qassam dan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Sementara menunggu, dua wanita Gaza berjubah hitam, bertudung labuh menabur bunga kepada pejuang-pejuang yang mengawal itu. Ia sebagai tanda kasih, terima kasih daripada hati penduduk Gaza kepada para pejuang.

Podium dilatari dengan banner yang menyebutkan hak-hak penduduk Gaza dan falsafah perjuangan mereka.

Di bahagian bawah podium, satu banner lain dipenuhi wajah-wajah jahat tokoh pengganas rejim Zionis dengan perkataan: ‘failure’.

Empat buah kenderaan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa tiba. Disusun di tepi. Kenderaan membawa empat tahanan tentera rejim Zionis pula tiba.

Wakil Al-Qassam membawa dokumen untuk ditandatangani bersama wakil Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa di pentas itu.

Kemudian empat tahanan wanita itu dibawa keluar. Siulan, tepukan tangan penduduk Gaza yang membanjiri dataran itu menggamatkan suasana, dibawa ke pentas sambil melambai-lambai tangan dan diserahkan kepada wakil Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Saya yakin ramai yang melihat klip video pembebasan empat tentera wanita itu. Pakaian pejuang, podium, banner, meja tempat tandatangan, ayat-ayat terimakasih daripada empat tahanan wanita kepada pejuang, cenderahati pejuang kepada mereka. Semua ini bukan sekadar proses biasa tukaran tahanan. Sebagaimana tulisan saya sebelumnya, ia perang psikologi kepada rejim Zionis, rakyat negara haram itu dan semua mereka yang mengikuti proses tersebut secara langsung di Gaza dan di luar Gaza.

Tahniah kepada Briged Al-Qassam dan Saraya Al-Quds atas persediaan dan idea ini. Kami tidak mampu menabur bunga kepada anda. Kami hanya mampu mendoakan buat anda dan umat Islam di sana. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -